20/09/2026
SESI LIBAT URUS BELANJAWAN BELIA MADANI 2027
Pada 20 September 2026, Strike Handball Club yang diwakili oleh Sdra. Darius Mariusius dan Sdra. Jonovan Kennedy Majalap telah menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan Belia MADANI 2027 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Putatan. Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh YB Tuan Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
Susulan pengumuman sukan bola baling tidak tersenarai dalam sukan teras pada tahun lalu, kami membawa aspirasi komuniti bola baling, khususnya di daerah Penampang, agar sukan ini terus diberikan ruang dan tidak tercicir daripada agenda pembangunan sukan kebangsaan. Antara cadangan yang dikemukakan ialah menaik taraf serta menyediakan bumbung bagi gelanggang terbuka di bawah seliaan Stadium Penampang untuk kemudahan latihan dan pertandingan yang lebih baik.
Kami turut mengetengahkan cadangan pembinaan stadium khusus bola baling pertama di Malaysia di Sabah, sebagai pemangkin pembangunan sukan ini serta membuka potensi Sabah sebagai destinasi kejohanan serantau dan antarabangsa melalui Sports Tourism.
Strike Handball Club juga menyambut baik cadangan Persatuan Taekwondo Tuaran mengenai kadar tambang penerbangan khas untuk atlet dan badan sukan yang menyertai kejohanan dalam dan luar negara, memandangkan kos penerbangan merupakan antara beban terbesar bagi penyertaan atlet dan pasukan dari Sabah.
Kami percaya pembangunan sukan bukan sekadar menyediakan tempat untuk berlatih dan bertanding, tetapi juga memudahkan atlet untuk sampai ke pentas pertandingan.
Terima kasih atas ruang untuk suara dan aspirasi akar umbi didengari demi pembangunan ekosistem sukan yang lebih inklusif dan berdaya maju.