03/11/2024
Prestasi Cemerlang SK Sungai Mas (JHEOA) Cetus Semangat Komuniti Orang Asli Ceburi Sukan Ragbi
SK Sungai Mas (JHEOA) SESMAS yang baru sahaja menubuhkan pasukan ragbi sentuh meraih pencapaian cemerlang pada kejohanan yang disertai baru-baru ini.
Pada Kejohanan Ragbi Sentuh anjuran SK Sg. Karang (SESUKAR) baru-baru ini, SESMAS yang dibarisi pemain daripada anak-anak komuniti orang asli menunjukkan prestasi membanggakan dengan meraih kedudukan di tempat ketiga dan bowl meskipun baru sahaja menubuhkan pasukan ragbi sentuh.
Guru Besar SK Sungai Mas, Encik Wan Aizaidi Wan Zakaria ketika dihubungi Ragbi.MY berkata, pencapaian yang ditunjukkan oleh pemain SESMAS adalah di luar jangkaan memandangkan mereka baru sahaja bermain ragbi sentuh dalam tempoh yang singkat.
"Kejayaan meraih tempat ketiga serta bowl adalah sesuatu yang sangat mengejutkan kerana kami berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman dan mempunyai tempoh latihan lebih panjang berbanding SESMAS," kata Wan Aizadi.
"Pujian seharusnya diberikan kepada anak-anak didik SESMAS yang begitu bertenaga mempamerkan permainan berkualiti dan semangat kesukanan yang tinggi di samping bimbingan daripada jurulatih-jurulatih Kesatuan Ragbi Negeri Pahang (KRNP) yang turut hadir memberi sokongan," jelasnya lagi.
Menurut Wan Aizadi lagi, pihak sekolah sangat berterima kasih kepada Presiden KRNP dan seluruh barisan jurulatih yang meletakkan kepercayaan kepada anak-anak SESMAS menyertai kejohanan itu.
Salah seorang pemain SESMAS, Norhaliyana Irwan, 12, menceritakan kegembiraannya menyertai sukan ragbi dan menganggap kejayaan yang diperolehi adalah seperti mimpi menjadi kenyataan.
"Sebelum ini tidak pernah terlintas untuk menyertai sukan ragbi, tetapi apabila sekolah memperkenalkan sukan ini, saya dan kawan-kawan sangat teruja menyertainya," kata Norhaliyana.
Manakala bagi jurulatih SESMAS, Megat Muhammad Azrai Mahari p**a menjelaskan, pemain telah mula menyesuaikan diri dengan permainan ragbi sentuh dan pendedahan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan bakat-bakat baru ini dapat digilap dengan lebih baik.
Pada kejohanan seterusnya, SESMAS akan turun beraksi di kejohanan ragbi sentuh anjuran SK Tanjung Lumpur pada 9-10 November ini.
SESMAS merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden KRNP, YM Dato' Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah bin Dato' Indera Munir yang menaja yuran penyertaan ke Kejohanan Ragbi Sentuh SESUKAR sebagai dorongan dan sokongan kepada mereka untuk terus bergiat aktif dalam sukan ragbi.
"Berkat sokongan daripada semua pihak, SESMAS berazam untuk melahirkan bintang-bintang sukan ragbi seterusnya membawa nama negeri Pahang ke peringkat yang lebih tinggi," kata Wan Aizaidi mengakhiri temubual.
Keputusan perlawanan pasukan SESMAS di Kejohanan Ragbi Sentuh SK Sg. Karang
Group A
1. SK Sg. Karang 5 - 0 SESMAS
2. SESMAS 7 - 0 SK B. Katong
Playoff Cup/Plate/Bowl/Shield
1. SKIM 15 - 0 SESMAS
Quater Final Bowl/Shield
1. SK Tanah Putih 0 - 5 SESMAS
Semi Final Bowl
1. SK Paloh Hinai 17 - 0 SESMAS
SESMAS mendapat tempat Ke-3 Bersama Bowl 🥉