13/02/2023
🇹🇭 หวังว่าจะได้พบคุณอีกครั้ง 🇹🇭
Dengan berakhirnya perlawanan menentang pasukan Chonburi FC tadi, maka berakhirlah siri perlawanan pra musim Terengganu FC di kota Bangkok, Thailand. Pasukan Terengganu FC akan berangkat p**ang ke Malaysia pada hari esok untuk membuat persiapan seterusnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi.
Sepanjang siri 4 perlawanan di Thailand, pasukan Terengganu FC telah mencatatkan 2 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan dan keputusan perlawanan ini sebenarnya bukanlah ukuran sebenar buat pasukan ini kerana bagi pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, inilah masa yang terbaik bagi kesemua anak-anak buahnya menggunakan kesempatan untuk mendapatkan 𝑚𝑎𝑡𝑐ℎ 𝑓𝑖𝑡𝑛𝑒𝑠𝑠 disamping menampilkan kualiti yang mereka ada apabila mereka diturunkan. Untuk memastikan persefahaman pemain baharu dan lama terus dapat disatukan dalam masa yang singkat sememangnya sukar, namun jika kesungguhan sepertimana yang ditonjolkan oleh para pemain ini dapat diteruskan tidak mustahil pasukan ini dapat bergerak dalam unit yang sangat kompak dalam masa yang singkat.
Apa yang positif baginya kesemua pemain dilihat berusaha untuk mendapatkan tempat sebagai kesebelasan pilihan walaupun beliau tahu mereka bakal merasa sedikit penat dengan persediaan latihan pra musim dan itu sebenarnya adalah perkara biasa dalam dunia bolasepak diseluruh dunia sebelum saingan liga bermula.
Pemain perancang tengah Habib Haroon p**a tidak diturunkan untuk 2 perlawanan terakhir kerana mempunyai kecederaan pada bahagian hamstring namun beliau bakal terus membuat pemeriksaan lanjut di Kuala Lumpur esok untuk melihat sejauh mana kecederaan itu adakah ianya hanya memerlukan beberapa hari untuk rehat dan kembali menjalani latihan bersama pasukan atau selanjutnya. Seorang lagi pemain licah Terengganu FC, Faiz Nasir juga telah dimaklumkan kini telah kembali pulih dari masaalah kesihatan dan kembali membuat latihan untuk mengembalikan kecergasannya untuk kembali bersama pasukan. Berkemungkinan kelab akan cuba aturkan 1 lagi perlawanan persahabatan di dalam negara sebelum aksi Piala Sumbangsih dilangsungkan.
InsyaAllah kita ingin mulakan saingan Liga Malaysia dengan positif seterusnya memastikan pencapaian kita bakal terus meningkat dari masa ke masa. Apa yang pasti, para pemain semestinya mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bagi dari para penyokong Terengganu FC untuk mereka sekali lagi tampil dengan aura positif bagi tahun 2023 dari awal sehinggalah kita berjaya membawa kejuaraan ke bumi Terengganu Darul Iman.