14/08/2014
Assalammualaikum…,
Alhamdulillah hari ni dengan rasminya saya menjejaki usia 40 tahun (mengikut kiraan tahun masihi). Pelbagai rasa sebenarnya yang bermain di benak ini….persimpangan untuk menjadi yang lebih baik atau kekal seperti sedia ada atau yang paling ditakuti jika menjadi lebih buruk (Nau’zubillah).
Seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada satu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak yang sempurna dan mampu membuat keputusan dengan matang lagi bijaksana. Umur ini juga sebenarnya adalah permulaan umur dewasa bagi seseorang lelaki yang membolehkanya untuk berfikiran lebih waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal yang sempurna.
Didalam Al-Quran sendiri secara spesifik banyak menyebut tentang umur 40 tahun agar menjadi peringatan supaya manusia mula memuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan, seperti mafhum Nya
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).
(Surah al-Ahqaf: 15)
Begitu juga dengna mafhum dari hadith Rasulullah yang berbunyi:
‘Seorang hamba muslim bila usianya mencapai empat puluh tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai enam puluh tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-Nya. Bila usianya mencapai tujuh puluh tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai lapan puluh tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai sembilan puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang belakangan, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai “tawanan Allah” di bumi.’
(H.R. Ahmad)
Ianya jelas menunjukan bahawa pada usia 40 tahun adalah menjadi penentu untuk seseorang itu menentukan perjalanan hidup seterusnya. Pengalaman hidupnya hampir 40 dekad yang lalu sepatutnya dapat memberikan panduan untuk memilih hala tuju masa akan datang. Jadi apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang sudah menjejaki umur 40 tahun dan ke atas ini. Adakah ia suatu permulaan kepada kehidupan yang dipenuhi dengan keseronokan, kelalaian dan kealpaan semata-mata ataupun sebaiknya mula difokuskan untuk melipatgandakan usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan segala kegiatan berfaedah sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara umumnya. Kalau diibaratkan seperti matahari, menjejaki usia 40 tahun ini seperti matahari yang mulai condong ke arah terbenam.
Kesimpulanya… bersedialah untuk menghadapi fasa ke dua kehidupan. Jadikan pengalaman lalu sebagai pelajaran yang teramat penting untuk menuju ke Jannah Allah…
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah kerana dikala usia menjejaki 40 tahun ini, saya telah diberikan satu keluarga bahagia dengan seorang isteri yang penyayang dan 4 orang anak yang menjadi aset paling berharga di dunia dan akhirat. Mohon maaf sejujurnya dari hati ini atas segala kekhilafan yang telah saya lakukan samada secara sengaja atau tidak… semoga kita semua sentiasa berada dibawah lindungan Allah jua. Ameen…
15 Ogos 2014 (Jumaat)