14/10/2025
KENYATAAN TERBUKA
Dengan penutupan pejabat operasi dan marketing di Bangunan ABC, Alor Setar pada Mei 2025, diikuti penutupan pejabat di Tamarind Square, Cyberjaya — saya mewakili diri sendiri dan komuniti di bawah nama RTC, yang sebelum ini aktif dalam promosi broker-broker forex, ingin memaklumkan bahawa saya secara rasminya menghentikan serta-merta semua aktiviti promosi, pemasaran dan pengambilan pelanggan baharu bagi mana-mana platform forex.
Langkah ini diambil lebih awal sebagai langkah pematuhan dan pencegahan, berikutan pengumuman rasmi bahawa bermula 1 November 2025, segala aktiviti promosi, pemasaran dan pengambilan pelanggan baharu bagi broker atau platform forex tidak lagi dibenarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang.
Saya telah terlibat dalam industri ini sejak tahun 2018, menjadikannya sudah 7 tahun perjalanan penuh pengalaman, pembelajaran dan cabaran. Sepanjang tempoh tersebut, saya dan Team tidak pernah culas dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara — termasuk membayar cukai kepada Kerajaan Malaysia melebihi RM2 juta, sebagai bukti kami menjalankan aktiviti secara telus dan beretika.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sebenarnya tidak lagi aktif mempromosikan mana-mana broker, sebaliknya lebih menumpukan kepada aktiviti trading secara sendiri. Namun dengan ketetapan akta dan arahan rasmi daripada SC, saya kini secara rasmi menamatkan sepenuhnya sebarang bentuk penglibatan promosi atau kerjasama bersama mana-mana broker forex, bagi memastikan saya dan komuniti tidak terlibat dalam sebarang pelanggaran peraturan.
Untuk makluman, antara broker yang pernah saya promosikan sebelum ini ialah LCG, ICM dan Oroku.
Bagi pelanggan sedia ada yang telah mempunyai akaun di bawah broker-broker tersebut, anda masih boleh meneruskan aktiviti trading seperti biasa, kerana larangan yang dikuatkuasakan oleh SC hanya melibatkan aktiviti promosi, pemasaran dan pengambilan pelanggan baharu, bukannya aktiviti trading individu.
Dengan ini juga, saya menegaskan bahawa saya tidak lagi memegang sebarang jawatan, peranan atau tanggungjawab dalam mana-mana broker mahupun dalam komuniti RTC itu sendiri, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Saya kini hanya menjalankan aktiviti trading secara individu (personal trading) dan tidak lagi bergerak di bawah mana-mana kumpulan atau komuniti seperti sebelum ini.
Saya amat menghargai segala sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan selama ini.
Mulai saat ini, sebarang aktiviti promosi berkaitan forex tidak lagi mewakili saya mahupun komuniti RTC.
Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan anda selama ini. 🙏