12/02/2017
Selamat menunaikan solat jumaat.
6 KEISTIMEWAAN HARI JUMAAT
===========================
1. BERLAKUNYA HARI KIAMAT
----------------------------------------
Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
"Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya."
Sabda Baginda dalam satu hadis yang lain:
"Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat”.\[HR Ibnu Majah dan Al-Baihaqi]
.
2. HARI NABI ADAM A.S. DICIPTAKAN & DISINGKIRKAN DARI SYURGA
----------------------------------------------------------------------------------------------
Hari Jumaat juga merupakan hari Nabi Adam A.S. diciptakan, dan hari ini jugalah baginda diturunkan daripada Syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda:
"Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari Syurga."
.
3. PENGHULU SEGALA HARI
--------------------------------------
Dalam suatu hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:
“Jumaat di namakan sebagai ‘Saidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat."
4. TERSELAMAT DARIPADA FITNAH KUBUR
-----------------------------------------------------------
Daripada Abdullah bin Amr berkata sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur." [Hadis Riwayat Tarmizi]
Jadi, sama-samalah kita berdo'a moga-moga Allah memilih kita dalam kalangan manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.
5. KEBAIKAN MENJAGA KEBERSIHAN & KUKU
-------------------------------------------------------------
Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yangsebaik-baiknya.
Ibnu Masud berkata, "Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan."
6. MAKBULNYA DOA ANTARA DUA KHUTBAH
------------------------------------------------------------
Majoriti ulama' berpendapat bahawa makbulnya do'a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan, Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan".
[Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim]
"Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo'a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do'anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan." [Hadis riwayat Tarmizi]