12/07/2026
إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Dengan penuh rasa dukacita, Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian Allahyarham Abang Yang @ Zainul Abidin bin Haji Hanafi, yang telah kembali ke rahmatullah pada Ahad, 12 Julai 2026 bersamaan 26 Muharam 1448H, jam 6.22 pagi.
Allahyarham merupakan anak sulung kepada Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad, pengasas Silat Cekak. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang amat dirasai, khususnya oleh keluarga besar Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia. Sebagai anak sulung kepada Almarhum Ustaz Hanafi, Allahyarham merupakan sebahagian daripada kesinambungan legasi keluarga yang sentiasa dekat dengan perjuangan memartabatkan warisan Silat Cekak.
Seluruh warga Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan, mengangkat darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta menempatkan roh Allahyarham bersama para solihin.
Semoga seluruh ahli keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini.
Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan Surah Al-Fatihah buat Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam syurga Allah SWT.
Al-Fatihah.