04/04/2026
Dikala wabak Covid 19 baru sahaja reda, tanggal 25 Februari 2022 menjadi saksi apabila anak-anak remaja ini dikumpul kembali selepas terpisah dari sesi pembelajaran awal yang berlangsung sekitar 2018-2019 (Milo Champion Clinic, Nan Soccer Kids & Akademi Futsal Kota FC).
Gelanggang serba daif di Orbit de Futsal tetap teguh menjadi tunjang semangat jurulatih dan pengurusan untuk melaksanakan hasrat yang sudah lama terbuku. Benar target kami hanya untuk menyampaikan bakat mereka sekurang-kurangnya pada tahun 2026 iaitu menjejaki acara futsal di SUKMA 2026 & 2028 sahaja dengan mewakili negeri Kelantan. Kami tak jangka untuk lebih dari itu dan awal dari tempoh tersebut untuk mereka bersinar memandangkan mereka masih muda.
Namun rezeki mereka dan rezeki kami tak salah alamat. Impian kami menjadi lebih serius dengan berpeluang membuka gelanggang sendiri dengan dikenali sebagai N10 Sport Centre pada 2023. Gelanggang baru yang terletak di Wakaf Bharu ini menjadikan semangat kami lebih membara dan azam kami lebih menebal untuk mengetengahkan bakat futsal di negeri Kelantan khususnya anak-anak N10FC. Jatuh bangun kami dalam kejohanan-kejohanan amatur di Kelantan hingga luar negeri Kelantan tidak pernah mematahkan semangat kami, malah membuat pejuang-pejuang ini lebih matang.
Permulaan anak-anak N10FC membuka langkah dengan pihak pengurusan menghantar pasukan ini untuk sesi pemilihan pemain Terengganu FC pada hujung tahun 2023 berikutan pasukan Kelantan seolah-olah tiada kemampuan dan peluang untuk menghantar pasukan ke Malaysia Premier Futsal League (MPFL). Hasilnya 2 pemain kami, Adam Rayyan dan Ammar Harith terpilih mewakili Terengganu FC untuk beraksi di MPFL 2024 buat kali pertama.
Awal tahun 2024, Allah hadirkan seorang insan yang mulia, berjiwa besar dan sanggup menyahut cabaran untuk membawa anak-anak di bumi Kelantan ke pentas yang lebih besar iaitu Malaysia Premier Futsal League 2024 (Divisyen 2), pentas kedua terbesar peringkat kebangsaan. Ia sekali gus membuka lembaran baru kepada anak-anak N10FC khususnya untuk berada di pentas yang besar lebih awal pada usia 17 tahun.
2025 beberapa pemain ini telah mula mengetuk pintu skuad muda kebangsaan dengan mewakili Malaysia Bawah 19 tahun. 2026 mereka sekali lagi berjaya ke pencapaian yang sangat besar apabila terpilih mewakili skuad utama Malaysia dan beraksi di Thailand untuk Kejohanan Futsal Asean 2026.
Kami pihak pengurusan dan jurulatih N10 FC mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa mendoakan kejayaan pemain-pemain tidak kira di mana anda berada. Tidak sekali pun kami harapkan anda semua membalas jasa pihak pengurusan dan jurulatih di sini, cukup sahaja mengingati perjalanan karier yang indah dalam sukan futsal sehingga menjadi seorang bintang negara.