06/09/2026
PENAMPANG, 6 September 2026 – Geng KOM Sabah (GKS) sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pasukan teknikal bagi Kejohanan Olahraga Terbuka Inobong anjuran Sacred Heart Inobong yang berlangsung selama tiga hari, bermula 4 hingga 6 September 2026.
Kejohanan yang menghimpunkan penyertaan atlet daripada kategori seawal 5 tahun sehingga 40 tahun ke atas itu menyaksikan pelbagai acara balapan dan padang dipertandingkan sepanjang tiga hari kejohanan.
Pasukan GKS yang dibimbing oleh Cikgu Rosli Abd Kadir berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik, sekali gus memastikan perjalanan pertandingan berlangsung lancar dan mengikut susunan masa yang telah ditetapkan.
Antara aspek penting yang diberikan perhatian ialah pengurusan pergerakan atlet bermula dari bilik panggilan sehingga ke arena pertandingan. Penyelarasan masa yang baik memainkan peranan penting bagi memastikan setiap acara dapat dimulakan mengikut jadual serta mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan keseluruhan perjalanan kejohanan.
Pada masa sama, hakim balapan, hakim padang serta pasukan Technical Information Centre (TIC) turut memainkan peranan masing-masing dalam memastikan aspek teknikal, pengendalian acara dan penyediaan keputusan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
GKS bukan sekadar sebuah pasukan teknikal olahraga. Pasukan ini turut menjadi platform yang menghimpunkan guru-guru yang mempunyai minat serta komitmen terhadap tugasan teknikal sukan olahraga. Kerjasama dan semangat berpasukan menjadi antara kekuatan utama GKS dalam setiap kejohanan yang diberikan kepada mereka.
Kejayaan melaksanakan tugasan sepanjang Kejohanan Olahraga Terbuka Inobong ini menjadi satu lagi pengalaman penting buat GKS dalam memperkukuhkan keupayaan pasukan serta meningkatkan mutu pengurusan teknikal pertandingan.
Dengan pengalaman yang terus dibina dari satu kejohanan ke satu kejohanan, GKS akan terus memberikan komitmen terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan, selain terus menyumbang kepada perkembangan dan penganjuran sukan olahraga di negeri Sabah.