21/08/2019
*IPD TAWAU SAMBAR EMAS KATEGORI SENIOR VETERAN DAN BEREGU WANITA DI KEJOHANAN BADMINTON PIALA PESURUHJAYA POLIS SABAH 2019*
Kota Kinabalu, 21 OGOS 2019 - Kejohanan Badminton Piala Pesuruhjaya Polis Sabah bagi tahun 2019 telah diadakan di Dewan Badminton Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang berlangsung selama 3 hari bermula 18 sehingga 21.08.2019. Seramai 20 pasukan dari pelbagai daerah telah mengambil bahagian dalam 06 kategori yang dipertandingkan.
Pertarungan sengit di antara setiap pasukan pada hari pertama menonjolkan bakat dan kemampuan para pemain yang mengambil bahagian untuk bertanding secara sihat sambil riadah. Pasukan IPD Tawau tidak ketinggalan memberi saingan sengit kepada pihak lawan pada final kategori senior veteran yang diwakili oleh Sarjan Sakar Bin Tadarus dan Sarjan Yassin Bin Haji Ab Salam menentang IPK Sabah dan merangkul pingat emas.
Dalam kategori beregu wanita yang diwakili oleh Sarjan Chong Fung Mee bersama PF Siti Salmiati Abd Talib juga telah mengecewakan pihak lawan dari pasukan Sandakan apabila menang pingat emas. Bergu lelaki dan bergu wanita kedua yang diwakili oleh Kpl Arman Bin Ujam dan Kpl Azwan Bin Petrus serta Sarjan Jawyah Binti Sangut bersama L/kpl Zaidha Binti Hossen turut merangkul tempat ketiga bersama.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Ak Umbuas mengucapkan berbanyak-banyak tahniah dan syabas kepada para pemenang serta pemain-pemain yang terlibat dalam kejohanan ini. "Semangat kesukanan begini yang saya mahukan dimana tanpa mengira siapa pun pihak lawan, kesungguhan untuk mencapai kejayaan itu terus meningkat tanpa gentar memberi saingan serta peroleh kejayaan" ujarnya lagi.
Majlis perasmian dan penutupan Kejohanan Badminton Piala Pesuruhjaya Polis Sabah telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Dato’ Zaini Bin Jass. Turut hadir SAC Jauteh Dikun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, barisan Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam serta orang awam dan keluarga polis.