28/07/2026
Karnival Sukan JBALB 2026 Ping Pong dan Karom Berlangsung Meriah di Sibu
SIBU, 25 Julai 2026 – Karnival Sukan JBALB 2026 bagi acara Ping Pong dan Karom yang berlangsung pada 24 hingga 25 Julai 2026 yang lepas telah berjaya dianjurkan oleh Kelab RUWAS Bahagian Sibu di Stadium Ping Pong Sibu dengan penuh kemeriahan dan semangat kesukanan.
Kejohanan tersebut menghimpunkan 12 bahagian JBALB dari seluruh Sarawak yang berkampung di Sibu bagi merebut kejuaraan dalam kedua-dua acara. Sepanjang dua hari pertandingan berlangsung, setiap pasukan mempamerkan aksi terbaik, disiplin yang tinggi serta semangat kesukanan yang menjadi contoh kepada semua peserta.
Selain persaingan yang sihat, karnival ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga kerja JBALB dari seluruh Sarawak.
Pengerusi RUWAS Bahagian Sibu, Cik Joanna, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan, pegawai, urus setia, pengadil, sukarelawan serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran karnival tersebut.
Beliau berkata, "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan yang hadir dan memberikan sokongan padu sepanjang kejohanan ini. Tahniah kepada semua yang bertanding kerana telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi. Saya juga ingin memohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang tempoh penganjuran. Semoga segala pengalaman yang diperoleh menjadi penambahbaikan untuk penganjuran akan datang."
Karnival Sukan JBALB 2026 Ping Pong dan Karom melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya, sekali gus membuktikan semangat perpaduan, persahabatan dan kesukanan terus menjadi asas dalam kalangan warga JBALB Sarawak. Penganjuran ini diharap akan terus menjadi medan untuk mencungkil bakat serta memperkukuhkan hubungan antara semua bahagian pada masa hadapan.