26/07/2026
Majlis Perasmian Gimnasium Persatuan Tinju Daerah Sepang 🥊
SEPANG, 25 Julai 2026 – Majlis Perasmian Gimnasium Persatuan Tinju Daerah Sepang telah berlangsung dengan jayanya di 📍Gym Apak Panther, Kota Warisan, Sepang, sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan tinju serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi di daerah Sepang.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Sepang. Turut hadir sama ke majlis ialah Tuan Mohd Faizal bin Abdul Raji, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Puan Nik Mariyana binti Nik Ahmad, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Sepang, Muhammad Fizry Tuah Bin Amran, Pengerusi Persatuan Tinju Daerah Sepang serta wakil-wakil agensi berkaitan Daerah Sepang
Perasmian gimnasium ini merupakan satu langkah penting dalam menyediakan kemudahan latihan yang lebih kondusif kepada atlet dan penggiat sukan tinju di daerah Sepang. Kemudahan ini dijangka menjadi pusat pembangunan bakat baharu serta platform untuk meningkatkan prestasi atlet di peringkat negeri dan kebangsaan.
Majlis turut menyaksikan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi memperkasakan pembangunan sukan tinju, sekali gus menyokong agenda pembangunan belia yang aktif, sihat dan berdaya saing di daerah Sepang.