16/06/2026
KENYATAAN RASMI PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP)
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ingin memaklumkan bahawa NFDP tidak terlibat dengan mana-mana penganjuran pertandingan atau liga bola sepak selain daripada pertandingan yang dilaksanakan secara rasmi bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta program-program yang telah mendapat kelulusan pihak berkaitan.
Sehubungan itu, NFDP tidak membenarkan penggunaan logo Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam sebarang bahan promosi, hebahan, dokumen rasmi atau penganjuran pertandingan tanpa kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada pihak yang berkenaan.
NFDP juga ingin memaklumkan bahawa Unit Pencarian Bakat (Scouting Unit) NFDP akan memberikan keutamaan kepada pemantauan dan penilaian pemain dalam pertandingan Liga Remaja Kebangsaan (LRK) yang merupakan platform rasmi pembangunan pemain muda negara.
Walau bagaimanapun, NFDP tidak menghalang mana-mana kelab, akademi atau organisasi bola sepak untuk menganjurkan liga atau pertandingan dalaman mereka sendiri sebagai usaha pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. Pihak penganjur yang berminat untuk menjemput Unit Pencarian Bakat NFDP hadir bagi tujuan mengenal pasti bakat-bakat baharu di peringkat negeri atau kelab adalah dialu-alukan untuk mengemukakan surat jemputan rasmi.
Sebarang surat jemputan boleh dihantar melalui e-mel kepada:
[email protected]
Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai dalam memastikan pembangunan bola sepak negara dilaksanakan secara teratur, profesional dan selaras dengan objektif pembangunan bakat kebangsaan.
SEKRETARIAT PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (NFDP)