Asal Usul nama Gunung Mantapok
Penempatan kampung Mantapok ini telah wujud sebelum kedatangan British ke tanah Borneo ini. Antara moyang keturunan suku Pauh yang menetap di kampung ini ketika itu adalah keturunan Ketuya yang merupakan ketua suku pada masa itu. Pada asalnya, nama penempatan ini sebelum ditukar menjadi Kampung Mantapok adalah disebut sebagai Pinolosok. Pinolosok bermaksud suatu ben
da yang telah disembunyikan supaya tidak dapat dijumpai atau diketahui orang lain. Menurut cerita turun temurun dari nenek moyang, kampung ini pada masa itu merupakan satu penempatan yang sangat subur dengan tanam tanaman seperti padi bukit, ubi kayu, ubi manis, nanas, jagung dan banyak lagi. Walaupun, bencana kemarau terjadi selama satu tahun, namun hasil tuaian daripada padi bukit dan ubi kayu tetap tidak berkurang. Tetapi tidak kepada penduduk jiran kampung bersebelahan di mana masalah kebuluran yang dahsyat telah berlaku kerana sumber beras dan ubi kayu telah habis. Pada mulanya, sesiapa sahaja yang meminta moyang kami tanpa ragu-ragu akan memberikan beras dan ubi kayu kepada mereka. Walau bagaimanapun, hari demi hari orang yang datang di kampung ini bukan berkurang malah bertambah banyak untuk meminta makanan. Sumber makanan p**a bertambah sedikit dan moyang kami ketika itu telah mengambil keputusan untuk menyembunyikan makanan yang masih ada. Moyang kami berpendapat bahawa sekiranya makanan itu habis didermakan maka mereka juga akan mengalami masalah kekurangan makanan seperti mereka. Apabila pihak British ke tanah Borneo kira-kira dalam tahun 1800, mereka telah menamakan tempat ini sebagai Hidden. Mereka telah mendengar cerita dari penduduk kampung bahawa semasa bencana kebuluran yang telah berlaku, moyang kami telah menyembunyikan beras dan ubi kayu dan menyatakan bekalan makanan yang mereka ada juga telah habis. Tetapi kenyataannya, beras dan ubi kayu itu hanya disembunyikan bagi mengelakan makanan yang masih ada tidak habis hanya untuk diberikan kepada yang datang meminta. Setelah mendengar cerita itu, pihak British telah memberikan nama penempatan itu sebagai “Hidden” dalam bahasa mereka yang bermaksud disembunyikan. Walau bagaimanapun, nama “Pinolosok”/ Hidden tidak berkekalan lama dan telah diubah menjadi Mantapok yang diambil daripada perkataan melayu Sabah iaitu “ditapuk”. Perkataan “ditapuk” sebenarnya mempunyai erti sama dengan perkataan “Pinolosok” yang bermaksud disembunyikan. Oleh itu, atas budi bicara penduduk kampung pada masa itu, perkataan “ditapuk” telah diubah menjadi ”Mantapok". Oleh kerana kampung Mantapok ini berada betul-betul di kaki gunung, jadi gunung tersebut dinamakan “Gunung Mantapok” sehingga kini. Gunung ini kaya dengan hidupan flora dan fauna dan semestinya akan menarik minat kepada para pelancong dan juga pendaki.