Pusat Latihan Puchong - Silat Cekak Hanafi

Pusat Latihan Puchong - Silat Cekak Hanafi Halaman komunikasi untuk kelas latihan awam Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi) bertempat di Puchong.

19/03/2026

PERUTUSAN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1447H

YM TUAN HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG

PENAUNG MERANGKAP GURU UTAMA
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita sekali lagi dipertemukan dengan Hari Raya Aidilfitri setelah melalui bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tarbiah serta didikan rohani. Selawat dan Salam kepada Baginda Nabi Muhammad Saw, Rosul junjungan yang kita kasihi dan rindui.

2. Sesungguhnya Ramadan adalah madrasah yang mendidik jiwa dalam melatih kesabaran, menyuburkan keikhlasan serta memperhalusi akhlak dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT. Setiap orang melalui Ramadan dengan hikmah yang berbeza yakni ada yang menjadikannya bulan untuk memperbanyak atau memperkukuhkan amalan, dan ada p**a yang menjadikannya satu titik tolak perubahan diri kearah yang lebih baik. Apa sahaja cabaran yang dilalui di sepanjang Bulan Ramadan diharungi dengan bersungguh-sungguh dengan penuh sabar. Mudah-mudahan segala amalan, disiplin diri serta perubahan baik yang telah kita usahakan sepanjang Ramadan ini tidak terhenti dengan berlalunya bulan yang mulia itu, bahkan terus dipelihara dan diamalkan dalam kehidupan kita pada hari-hari yang mendatang. Semoga segala amalan yang dilaksana mendapat redha Allah dan diterima oleh-Nya.

3. Setelah Ramadan pergi, Syawal dinanti p**a hadir menambah seri, sebagai tanda merayakan kemenangan melawan hawa nafsu diri. Kegembiraan menyambut Syawal yang mulia ini, diingatkan kita semua juga agar menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai ruang untuk memperbaharui hubungan sesama kita. Ambillah kesempatan ini untuk saling bermaaf-maafan, menziarahi sanak saudara, sahabat handai serta mengeratkan silaturahim yang mungkin pernah terjarak oleh kesibukan kehidupan. Sesungguhnya keindahan Aidilfitri bukan hanya pada kemeriahannya, tetapi pada hati yang kembali bersih, hubungan yang kembali erat dan ukhuwah yang kembali diperkukuhkan. Khususnya kepada seluruh ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, semoga ikatan persaudaraan yang terjalin atas dasar ilmu, adab dan perjuangan ini terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

4. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli agar terus bersama dengan persatuan ini dengan penuh kesetiaan serta keikhlasan dalam perjuangan. Perjuangan yang kita dukung pada hari ini merupakan sambungan kepada amanah yang telah diasaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad. Selepas malam lailatul qadar sehingga tahun yang akan datang, marilah kita bersama-sama meningkatkan tahap pencapaian perjuangan kita kepada aras baru yang lebih dinamik, kukuh dan berkesan.

5. Sesungguhnya dalam sesebuah perguruan, kekuatan bukan sekadar terletak pada kehebatan gerak atau kemahiran semata-mata, tetapi pada ilmu yang dipelihara dengan adab serta amanah yang dijunjung dengan penuh keikhlasan. Sebagai insan yang juga tidak terlepas daripada kekurangan, saya sentiasa memohon kepada Allah SWT agar kita semua sentiasa dipimpin dan diberi kekuatan untuk memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya.

6. Di kesempatan yang penuh keberkatan ini juga, bagi pihak diri saya dan keluarga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada Ahli-Ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT), Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK), Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT), Majlis Mesyuarat Negeri (MMN), para penyelia kelas, jurulatih, warga utama, ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia serta semua yang bersama dan mendukung persatuan ini secara langsung atau tidak langsung serta tidak dilupakan juga kepada seluruh muslimin dan muslimat. Semoga segala amal ibadah yang telah kita laksanakan sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT dan semoga Syawal yang kita sambut ini membawa keberkatan, kesejahteraan serta memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama kita.

7. Sebagai rumusan, ingatlah bahawa intisari dari puasa Ramadan itu ialah menahan diri dari hawa nafsu. Sehari kita menahan diri, kita diberikan kegembiraan semasa kita berbuka puasa. Sebulan kita menahan diri, kita diberikan kegembiraan di Hari Raya di Bulan Syawal dan jika kita beristiqomah menahan diri seumur hidup kita, kita akan diberikan kegembiraan bertemu dengan Allah yang Maha Esa di akhirat nanti.

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dipelihara Allah atas segala hal kehidupan kita.

Silat Cekak Hanafi - Asli & Murni

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H

Maaf Zahir dan Batin

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Sekian, terima kasih.

“PENERAJU WARISAN MUTLAK”
“SILAT CEKAK HANAFI – ASLI DAN MURNI”

HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
Penaung merangkap Guru Utama
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia

29 Ramadan 1447H

30/07/2025
26/06/2025

PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN AWAL MUHARAM 1447H
YANG MULIA TUAN HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
GURU UTAMA MERANGKAP PENAUNG
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita masih dipertemukan dengan Tahun Baru Hijrah,1 Muharam 1447H. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda SAW.

Tahun Baru Hijrah bukan sekadar pertukaran angka dalam kalendar Islam, namun yang lebih utama ialah sebagai medan muhasabah dan pemangkin perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, lebih bermakna dan lebih dekat dengan nilai-nilai Islam yang murni. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah, perjuangan bukan sahaja pada medan fizikal, tetapi juga penghijrahan yang melibatkan pengorbanan harta, jiwa, dan tanah air tercinta yang menjadi titik perubahan dan pemangkin kejayaan penyebaran syiar Islam ke seluruh alam. Hijrah pada ketika itu yang terjadi adalah daripada situasi yang teruk kepada lebih baik, lemah menjadi lebih kuat dan keadaan dihina menjadi dihormati dan disayangi. Keadaan Madinah yang lebih baik dan harmoni yang dimiliki setelah itu, sepatutnya menjadi contoh teladan yang perlu diikuti.

Walaupun kini suruhan hijrah secara fizikal sudah tidak ada, penghayatan hijrah pada zaman ini juga boleh diamalkan dengan perubahan sikap atau perkara yang tidak baik kepada yang baik atau mazmumah kepada mahmudah. Ini boleh dirujuk melalui sebuah hadis;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari (gangguan) lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir (penghijrah) adalah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih.

Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala. Hijrah juga boleh disifatkan dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim dan berubah kepada seorang yang mengamalkan sifat-sfat mahmudah.

Sebagai warga Silat Cekak Hanafi, Awal Muharam ini juga membawa makna yang besar kepada kita semua. Perubahan tahun baharu juga mengingatkan kita kepada perjuangan dan pengorbanan dalam memperjuangkan seni budaya bangsa dan kefahaman agama Islam yang disampaikan oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad. Kita boleh menjadikan semangat juang yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Ustaz Hanafi dan para pendukung silat ini sebelum ini sebagai panduan, bekal dan pemangkin semangat kepada kita semua pada hari ini. Tambahan p**a pada tahun ini kita sedang menyambut 60 Tahun Silat Cekak Hanafi.

Silat Cekak Hanafi bukan sekadar satu seni bela diri semata-mata. Namun ia adalah medan tarbiah, satu wadah pembentukan jati diri yang kukuh berteraskan akidah, akhlak dan adab. Justeru, dalam kita berlatih dan berjuang melalui silat ini, marilah kita terus mencontohi empat sifat agung Rasulullah SAW iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathanah. Mulakanlah mengamalkan 2 sifat agung tersebut iaitu Siddiq dan Amanah. Ianya akan membentuk jati diri kita kearah keperibadian budi pekerti yang terbaik dan akhlak yang tinggi. Dengan mengamalkan 2 sifat tersebut dengan bersungguh-sungguh, diharapkan agar Allah SWT mengurniakan kepada kita 2 Sifat lagi iaitu Tabligh dan Fathanah. Sifat-sifat terpuji ini dapat membina masyarakat bertamadun, bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi rohani.

Baru-baru ini di Majlis Anugerah Kecemerlangan Silat Cekak Hanafi 2025, kita telah melancarkan Buku ‘Nilai-Nilai Murni Hanafi’ yang boleh dijadikan panduan dan meningkatkan lagi kefahaman kepada semua penuntut silat ini. Nilai-nilai murni inilah yang dikatakan sebagai ‘isi’ dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi. Melalui silat, Ustaz Hanafi mahukan anak-anak muridnya mempunyai nilai-nilai murni dalam diri mereka. Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Silat Cekak Hanafi telah bersetuju untuk memasukkan nilai-nilai murni ke dalam silibus pengajaran silat. Namun begitu, apa-apa yang telah dimasukkan dalam silibus telah diolah untuk disesuaikan supaya dijadikan bahan bacaan umum. Semoga ianya dapat menjadi panduan dan rujukan kepada semua penuntut mahupun orang awam tentang pembinaan sahsiah yang mahu diterapkan kepada ahli Silat Cekak Hanafi.

Sebagai Guru Utama Silat Cekak Hanafi, saya berharap semua penuntut silat ini menjadi contoh yang terbaik kepada masyarakat khususnya ahli keluarga dan orang yang terdekat dengan kita. Jadikanlah tahun ini sebagai titik perubahan dalam peningkatan akhlak yang murni dan terpuji. Kukuhkanlah juga hubungan kita sesama ahli agar perjuangan yang dibina sekian lama ini dapat dikekalkan dan digerakkan dengan mudah dan berimpak tinggi seiring dengan 60 tahun perjuangan ini.

Penghargaan kepada semua ahli dan pendukung yang terus bersama. Semoga kita dapat terus bergerak dengan lebih baik lagi pada tahun ini dan masa akan datang demi sebuah perjuangan dalam mengembangkan silat Melayu asli dan murni ini iaitu Silat Cekak Hanafi yang kita cintai. Semoga ianya juga dapat mendidik diri kita dan anak bangsa menjadi ummat Nabi Muhammad SAW yang taat dan berjaya di dunia mahupun akhirat.

Wajiblah menjaga diri sendiri,
Menerima Amanah Tuhan Rabbi,
Supaya menjadi mukmin sejati,
Demi menegak Islam yang suci.

Selamat Menyambut Awal Muharam 1447H.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Sekian, terima kasih.

“PENERAJU WARISAN MUTLAK”
“SILAT CEKAK HANAFI – ASLI DAN MURNI”

HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
Guru Utama merangkap Penaung
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia

1 Muharam 1447H

09/06/2025
Salam Aidiladha.
06/06/2025

Salam Aidiladha.

PERUTUSAN
YM TUAN HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
GURU UTAMA MERANGKAP PENAUNG
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1446H / 2025M

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita sekali lagi dikurniakan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, hari kebesaran yang penuh dengan nilai pengajaran dan keinsafan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah sepanjang zaman, serta seluruh ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
1. Hari Raya Aidiladha ini dapat kita mengambil iktibar dan keteladanan dari Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, yang teguh dalam berusaha dan menyerahkan segala ikhtiar dan tawakal mereka dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS yang pernah diuji dengan lewatnya dikurniakan anak dan setelah itu diuji p**a dengan diperintahkan agar menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail AS. Ketaatan Baginda berdua dalam menuruti perintah Allah taala amat hebat sekali. Kepatuhan mereka adalah atas kesedaran bahawa segala yang dimiliki atas dunia ini hanyalah pinjaman sementara dan ini juga menunjukkan nilai PENGORBANAN yang tinggi terhadap perintah Allah taala.

2. Hari Raya Aidiladha bukan sekadar simbolik kepada ibadah korban semata-mata, tetapi ia mengangkat erti sebenar pengorbanan, ketaatan, dan keikhlasan dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Ini adalah nilai-nilai yang turut menjadi tiang seri dalam perjalanan Silat Cekak Hanafi yang kita kasihi. Pengorbanan yang dicurahkan dalam memartabatkan Silat Cekak Hanafi agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang amatlah bermakna. Ini kerana apa yang diajarkan dalam SIlat Cekak Hanafi adalah bukan sekadar silat, namun penerapan budi pekerti mulia yang baik dalam membentuk keperibadian mulia anak muda bangsa.

3. Dalam menelusuri sejarah perjuangan Almarhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad, kita dapat melihat bahawa Silat Cekak ini tidak lahir dari kesenangan, tetapi daripada pengorbanan yang besar yakni masa, tenaga, fikiran, harta dan seluruh jiwa raga. Beliau telah curahkan semuanya demi memastikan warisan seni beladiri Melayu Islam ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang dalam bentuknya yang asli dan murni. Seni silat yang asalnya diajarkan di Institusi Istana oleh Panglima – Panglima Diraja dan kini genaplah 60 tahun dilahirkan semula.

4. Demi mewarisi perjuangan ini, saya menyeru kepada seluruh ahli, jurulatih dan kepimpinan di setiap peringkat untuk terus istiqamah menyokong pergerakan persatuan, walau sesibuk mana sekalipun kita dengan urusan harian. Usah biarkan api perjuangan ini malap dek alpa dengan keselesaan dunia. Setiap sumbangan kecil anda terhadap pergerakan persilatan, keterlibatan dan sumbangan dalam program-program persatuan, dan semangat setia bersama ini adalah sebahagian dari kesinambungan amanah yang amat besar nilainya.

5. Marilah kita hayati makna sebenar pengorbanan pada Aidiladha kali ini, bukan sekadar dari sudut ibadah, tetapi juga sebagai iltizam dalam menegakkan maruah dan martabat seni warisan bangsa. Semoga Allah SWT terus memberkati usaha kita dan mengurniakan kekuatan untuk kita terus berdiri teguh di atas landasan perjuangan ini. Pertahankan prinsip, adab, dan kefahaman yang telah digariskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi baik dari sudut jasmani dan rohani. Jangan terpengaruh dengan arus perubahan yang mencairkan jati diri atau melemahkan asas perjuangan. Kitalah benteng dalam memastikan silat ini tidak ditelan zaman atau disalah ertikan oleh generasi mendatang.

6. Dalam melaksanakan pengorbanan sudah tentu ada penghalangnya. Ianya dilambangkan dengan kerja ibadat melontar di 3 jamrah semasa di Mina. Jamrah yang besar, sederhana dan kecil yang melambangkan syaitan. Dan halangan-halangan ini hanya boleh diatasi dengan pertolongan Allah Yang Maha Besar sahaja, bukan dengan kekuatan kita sendiri. Marilah sama-sama kita berazam untuk melakukan ibadah korban seperti yang disuruh Allah. Harga korban yang perlu kita keluarkan tersangat kecil jika dibandingkan dengan rezeki dan nikmat Allah yang diberikan kepada kita.

Akhir kata, Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada ahli-ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT), Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK), Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT), Majlis Mesyuarat Negeri (MMN), Akademi Silat Cekak Hanafi, Kelas-Kelas Latihan Awam, IPT dan Sekolah, ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia dan pendokong pergerakan persatuan ini serta semua umat Islam di mana sahaja anda berada.yang merayakannya.
Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

Wassalam.
AMRUDDIN BIN BUANG
GURU UTAMA MERANGKAP PENAUNG
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA
9 Zulhijah 1446H / 6 Jun 2025M

31 Mei 2025 I SabtuPUCHONGProgram Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Sepang , Selangor Darul Ehsan.
31/05/2025

31 Mei 2025 I Sabtu

PUCHONG

Program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Sepang , Selangor Darul Ehsan.

31/05/2025

31 Mei 2025 I Sabtu

PUCHONG

Telah berlangsung persembahan demo silat dari Unit Persembahan Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Malaysia pada slot pembukaan majlis dalam program Rewang Komuniti Strata peringkat Majlis Perbandaran Sepang yang bertempat di Taman Putra Perdana, Puchong ,Selangor.

Turut hadir di majlis YAB DATO’ SERI AMIRUDIN BIN SHARI, DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.

Turut bersama di majlis , YB DATUK BORHAN BIN AMAN SHAH, EXCO PERUMAHAN DAN KEBUDAYAAN NEGERI SELANGOR.

30/03/2025

PERUTUSAN
YM TUAN HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
PENAUNG MERANGKAP GURU UTAMA SILAT CEKAK HANAFI
SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1446H / 2025M

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Segala puji bagi Allah, kerana kita masih diizinkan oleh-Nya bernafas menikmati udara ini dan berkesempatan beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad Saw, Rosul junjungan yang kita kasihi dan rindui. Salam Silat Cekak Hanafi – Asli dan Murni.

2. Alhamdu lillah, bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t, dengan limpah keizinan-Nya kita telahpun berjaya mengharungi ibadah berpuasa Ramadan selama sebulan pada tahun ini. Bulan mulia lagi barakah yang ada padanya malam diturunkan al-Quran dan juga malam lailatul qadar malam yang lebih baik dari seribu bulan. Segala ibadah di Bulan Ramadan yang mulia ini juga akan memperolehi ganjaran yang besar dan berlipat kali ganda. Berpuasa di bulan Ramadan bukan hanya kita menahan lapar dan dahaga, namun ianya dapat mendidik kita dalam pelbagai aspek lain antaranya menjaga lisan, perbuatan pada setiap pancaindera dan iktikad hati kita. Ini kerana ianya dapat mengekang nafsu kita daripada berkeinginan untuk melakukan perkara-perkara yang melanggar hukum agama atau yang tidak baik.

3. Amalan berpuasa juga dapat memberikan kesihatan tubuh yang baik seiring dengan keperluan tubuh badan yang sihat kepada kita umat Islam. Ini adalah seiring dengan amalan kita sebagai warga Silat Cekak Hanafi, agar sentiasa menjaga kesihatan yang baik dan juga perilaku budi pekerti yang terpuji. Dengan budi pekerti yang baik dan badan yang sihat ini juga akan dapat menguntungkan agama Islam, bangsa dan negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

4. Setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan yang diraikan dengan gembira kerana semua umat Islam telah mengharungi sebulan berpuasa menahan diri dari nafsu samada dari sudut makan dan minum mahupun kelakuan. Hari kemenangan yang dirai ini dikatakan kita seolah-olah kembali kepada fitrah ini janganlah disia-siakan. Ini kerana Ramadan yang dilalui telah mendidik kita menjadi insan yang terbaik dari pelbagai aspek dan seharusnya didikan itu diteruskan pada bulan – bulan mendatang. Bulan Syawal ini haruslah diraikan dengan riang dan gembira namun dalam keadaan yang masih terkawal dari pembaziran mahupun pergaulan yang tidak melampaui batas agama.

5. Jadikan bulan Syawal ini sebagai satu peluang untuk kita sama-sama bermaaf-maafan sesama keluarga, sahabat handai dan sesama ahli dengan melupakan segala kekhilafan dan kesilapan yang telah berlalu. Ziarahlah berhari raya kepada ibu bapa, guru-guru, keluarga dan sahabat handai demi mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Apabila saling bermaafan dan mengeratkan hubungan sesama kita, mudah-mudahan ianya akan menjadikan kita seorang yang bersifat mukmin yang sejati. Semangat “segerak, senafas, seudara” yang diterapkan dalam Silat Cekak Hanafi mestilah diteruskan agar ukhuwah kita sesama ahli dapat tetap dieratkan.

6. Bersempena dengan Tahun Sambutan Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Hanafi yang diraikan pada tahun ini, semoga ukhuwah sesama ahli yang telah erat ini dapat membantu persatuan dalam meneruskan perjuangan almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad untuk memartabatkan Silat Cekak Hanafi seiring dalam menyebarkan kefahaman tauhid dan kebaikan. Semoga hubungan yang dieratkan pada Syawal ini juga menjadi titik tolak kepada semua ahli untuk terus aktif dan menyokong sebarang usaha persatuan baik dari sudut persilatan mahupun pengurusan persatuan melalui pelbagai program-program yang dilaksanakan.

7. Dalam meneruskan perjuangan almarhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad, kita semua hendaklah melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan tetap menjaga keaslian perjuangan yang dibawa oleh almarhum. Harapan saya juga agar semua ahli tidak kira dimanapun berada akan dapat terus bersatu dalam menempuhi pahit manis cabaran yang mendatang demi memartabatkan perjuangan almarhum Ustaz Hanafi yang suci dan murni ini. Amatlah rugi jika perjuangan almarhum yang suci dan murni ini tidak dijaga sebaiknya untuk kebaikan generasi anak bangsa kita.

Syabas kepada semua yang masih terus bersama dalam perjuangan ini !

8. Bagi mengakhiri perutusan, saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin kepada ahli-ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) , Majlis Mesyuarat Kebangsaan (MMK), Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT), Majlis Mesyuarat Negeri (MMN), Akademi Silat Cekak Hanafi, Kelas-Kelas Latihan Awam, IPT dan Sekolah, seluruh ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia serta semua umat Islam yang merayakannya. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sekian, terima kasih.

HAJI AMRUDDIN BIN HAJI BUANG
PENAUNG MERANGKAP GURU UTAMA
PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Address

Jalan Putra Perdana 2/18, Taman Putra Perdana
Puchong
47130

Opening Hours

21:00 - 23:00

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Pusat Latihan Puchong - Silat Cekak Hanafi posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share