26/04/2026
SIARAN MEDIA
AFIF AMRAN GALAS DUA PERANAN, SEDIA PERTAHAN GELARAN & BANGUNKAN BAKAT BAHARU CUB PRIX 2026
Penyandang juara keseluruhan CP150 musim lalu, Ahmad Afif Amran kembali ke saingan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix musim 2026 dengan misi yang lebih besar apabila bukan sahaja beraksi sebagai pelumba utama, malah turut melangkah ke fasa baharu sebagai pemilik pasukan.
Afif kekal bersama Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing dalam kategori CP150, dengan sasaran jelas untuk mempertahankan kejuaraan dan memburu gelaran keseluruhan kelima dalam kariernya. Walaupun kini memiliki pasukan sendiri, Afif menegaskan fokus dan komitmennya sebagai pelumba tidak akan terjejas, malah akan terus memberikan saingan sengit di litar.
Dalam masa sama, Afif memperkenalkan pasukannya sendiri, Estremo Pitsbike Yamaha FiveZero Racing yang akan membuat penampilan sulung dalam kelas Wira KBS. Pasukan ini mendapat sokongan padu daripada Estremo, jenama pelincir (lubricant), Pitsbike, jenama alat ganti motor dari Filipina, serta Yamaha Motor sebagai penaja utama.
Mengulas mengenai penubuhan pasukan tersebut, Afif menyifatkannya sebagai satu langkah penting dalam menyumbang kepada pembangunan bakat baharu dalam arena Cub Prix tempatan.
“Pasukan ini adalah platform untuk melahirkan pelumba muda. Saya mahu mereka berkembang dan bersaing secara kompetitif pada masa akan datang,” kata Afif.
Dua pelumba muda yang akan membawa cabaran pasukan ini ialah Adam Danial dan Muhammad Alif, kedua-duanya berusia bawah 17 tahun. Afif berharap mereka dapat memberikan persembahan terbaik di litar sepanjang musim ini, namun pada masa sama menegaskan kepentingan pendidikan agar tidak diabaikan.
“Saya harap mereka bukan sahaja berjaya di litar, tetapi juga seimbang dari segi pelajaran,” tambahnya lagi.
Afif turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan bagi musim 2026, khususnya dalam merealisasikan penubuhan pasukan baharunya.
Hari ini merupakan hari perlumbaan, dan Afif menyeru seluruh peminat sukan permotoran tanah air untuk terus memberikan sokongan kepada beliau serta pasukannya dalam mengharungi cabaran musim ini.
— TAMAT —