03/06/2024
_Bila sebut Air Terjun Gunung Ledang sudah tentu kita akan menggambarkan suasana damai, desiran air terjun dan bunyi sang unggas yang cukup mengasyikkan serta mampu memberikan ketenangan selain menikmati keindahan flora dan fauna dari pelbagai spesis._
Pemilihan lokasi Air Terjun Gunung Ledang bagi Program Hiking X KESELAT 2024 adalah supaya para peserta dapat merasai dan terokai sendiri keindahan alam hijau ciptaan Allah swt supaya kita sentiasa mensyukuri dan lebih mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.
Alhamdulillah, Kelab Rekreasi Anggota PERKESO Zon Selatan (KESELAT) telah berjaya melaksanakan Program Hiking X KESELAT 2024 pada 25 Mei 2024 bertempat Air Terjun Gunung Ledang. Program ini melibatkan penyertaan seramai 180 orang dari anggota dan ahli keluarga anggota PERKESO di bawah Zon Selatan yang merangkumi tiga (3) negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka termasuk Pusat Rehabilitasi PERKESO.
Objektif program ini diadakan adalah bertujuan menyahut seruan pihak pengurusan tertinggi PERKESO agar anggota mengamalkan gaya hidup yang sihat serta menyatukan semua ahli di dalam Zon Selatan. Selain itu, program ini juga dapat merehatkan minda dan meregangkan sedikit tekanan dengan aktiviti yang sihat.
Majlis dimulakan dengan Nyanyian Lagu Bangsa Johor, Negaraku , Lagu PERKESO Prihatin dan diikuti dengan bacaan doa. Seterusnya ucapan alu-aluan dari YDP KESELAT iaitu Encik Radin Farizalnudin Bin Radin Borhanudin. Beliau dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang dapat menyertai program pertama KESELAT bagi tahun 2024. Beliau menasihatkan agar semua peserta mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh PTNJ yang memberi laluan dan peluang kepada KESELAT untuk menjalankan program di sini. Sebelum pendakian bermula, para peserta turut bersama dalam aktiviti pemanasan badan.
Aktiviti hiking hari ini berjalan lancar seperti yang dirancang dalam tentatif program. Hampir semua peserta berjaya menakluki _check point_ akhir iaitu di Kolam Puteri.
Di akhir program semua peserta berkumpul semula untuk sesi bergambar beramai-ramai dan seterusnya dibenarkan untuk aktiviti bebas bersama ahli keluarga