14/11/2024
“Siapa Pemanah Legenda Dalam Kalangan Samurai?”
Oleh: Farahi Kamaruddin
Beliau dikenali dan menjadi legenda kerana kemahiran luar biasanya sebagai pemanah dan keberaniannya semasa salah satu konflik sejarah paling terkenal di Jepun, iaitu Perang Genpei. Kisahnya menggambarkan nilai-nilai kesetiaan, keberanian, dan kehormatan, menjadikannya simbol yang kekal dalam budaya Jepun.
Perang Genpei (1180-1185) adalah perang saudara penting antara puak Taira dan Minamoto, yang berakhir dengan penubuhan keshogunan Kamakura. Perang ini bukan sahaja mengubah landskap politik Jepun tetapi juga melahirkan banyak legenda dan Nasu no Yoichi menjadi salah seorang wiranya yang paling ikonik.
Nama sebenarnya ialah Nasu Munetaka, dan beliau digelar Nasu no Yoichi kerana kedudukannya sebagai anak ke-11 dalam keluarga.
Nasu no Yoichi dilahirkan dalam keluarga pahlawan yang mahir, dan sejak kecil, dia telah menunjukkan bakat luar biasa dalam memanah. Menurut legenda, sepanjang beliau membesar, beliau melalui latihan yang ketat.
Malah, beliau dipupuk untuk memiliki rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap puaknya. Bapanya juga dikatakan seorang samurai yang terkenal, sekaligus memberinya inspirasi untuk kekal cemerlang dalam kemahiran bertempur dan memanah.
Semasa Perang Genpei, Nasu no Yoichi muncul sebagai tokoh utama dalam perjuangan puak Minamoto melawan Taira. Beliau adalah pemanah legenda yang gagah berani, serta memberi semangat yang jitu buat rakan-rakan seperjuangannya.
Kisahnya sebagai pemanah legenda bermula ketika Pertempuran Yashima. Beliau telah dicabar oleh Jeneral Genji, Yosh*tsune untuk memanah ke arah sebuah kipas merah yang tergantung pada sebatang tiang, dan ditempatkan dalam sebuah perahu kecil.
Nasu no Yoichi terpaksa membuat pilihan sukar dalam hidupnya ketika itu. Sama ada memanah dengan tepat, atau dibunuh kerana gagal, atau menamatkan riwayat sendiri dengan melakukan seppuku.
Yoichi menaiki kuda hitam dan menunggang ke arah laut, tetapi kedudukannya masih berjarak sejauh 250 kaki. Namun Yoichi nekad. Beliau menarik busurnya dan melepaskan anak panah yang meluncur tepat ke arah kipas. Anak panah itu mengenai kipas dan memotongnya. Serentak itu, semua orang bersorak dengan kejayaannya.
Nasu no Yoichi dikatakan meninggal dunia pada usia yang muda, iaitu sekitar 20-an. Kuil Sokujo-in, iaitu makam tempat Yoichi disemadikan, terkenal dengan upacara menunaikan hajat yang dinamakan sempena legendanya. Dikatakan bahawa ramai orang berdoa agar hajat mereka akan tercapai dengan satu panahan tepat yang dilakukan oleh Yoichi.
___
Banyak lagi pasal samurai-samurai yang unik, menarik dan ada sejarahnya sendiri dalam era Sengoku!
Kalau berminat, boleh dapatkan buku SENGOKU: DINASTI PARA SAMURAI sudah boleh dibeli pada hari ini, dengan harga promosi RM23!
Dapatkan di sini: https://s.shopee.com.my/8pTeXCoK0n