10/08/2026
USM Minden Tiger Tewas Tipis 0-1 Kepada UiTM Kelantan
ARAU, PERLIS — Pasukan USM Minden Tiger terpaksa menerima kekalahan tipis 0-1 kepada UiTM Kelantan dalam aksi Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2026 yang berlangsung di Padang Rani, UiTM Arau, Perlis.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mendapatkan kelebihan. USM Minden Tiger turut mempamerkan beberapa gerakan menyerang yang baik serta mencipta beberapa peluang untuk membuka jaringan namun percubaan yang dihasilkan gagal disempurnakan.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga memasuki 15 minit terakhir perlawanan sebelum UiTM Kelantan diberikan sepakan penalti. Kesempatan tersebut dimanfaatkan sebaiknya apabila sepakan penalti berjaya disempurnakan untuk memberikan kelebihan 1-0 kepada pasukan lawan.
USM Minden Tiger kemudiannya berusaha bangkit bagi mencari gol penyamaan namun barisan pertahanan UiTM Kelantan berjaya mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan tersebut menyaksikan USM Minden Tiger terpaksa akur dengan kekalahan tipis meskipun menunjukkan persembahan yang kompetitif sepanjang perlawanan dan mempunyai beberapa peluang untuk mencipta jaringan.
Pasukan USM Minden Tiger kini akan mengalihkan fokus kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang UiTM Pahang. Aksi tersebut amat penting buat USM dalam usaha menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan keputusan positif.
Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang saingan, USM Minden Tiger diharapkan dapat bangkit pada perlawanan terakhir dan memberikan persembahan terbaik demi membawa nama Universiti Sains Malaysia.