03/06/2026
BELIA DAN WARGA EMAS BERSATU DALAM PROGRAM RYTHM JAJAHAN PASIR PUTEH 2026
PASIR PUTEH, 2 JUN 2026 - Suasana penuh mesra dan harmoni jelas terpancar menerusi penganjuran Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni 2026 pada 25 Mei 2026 yang lalu berlangsung di Raja Dagang Resort, Pasir Puteh, dengan menghimpunkan golongan belia dan warga emas dalam satu platform memperkukuhkan hubungan antara generasi.
Program anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh yang telah dipertanggungjawabkan menghantar seramai 40 orang belia bagi menyertai pelbagai aktiviti yang telah disediakan sepanjang program berlangsung.
Penganjuran RYTHM 2026 bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan warga emas serta belia melalui aktiviti interaktif, perkongsian pengalaman, pembangunan sahsiah dan pengukuhan nilai kekeluargaan. Program ini turut menjadi medium terbaik untuk merapatkan jurang generasi, menyemai rasa hormat-menghormati serta membina semangat kebersamaan dalam komuniti.
Melalui penglibatan aktif peserta, program ini berjaya mewujudkan suasana yang positif di mana golongan belia dapat menimba pengalaman dan hikmah kehidupan daripada warga emas, manakala warga emas p**a berpeluang berinteraksi dengan generasi muda yang menjadi pelapis kepimpinan masa hadapan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Anuar bin Che Mahmud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan OKU dan Warga Emas Jabatan Kebajikan masyarakat Negeri Kelantan, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan membina masyarakat penyayang dan inklusif melalui penglibatan semua lapisan umur. Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Amreezal bin Abdul Kadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh yang sentiasa menyokong usaha-usaha pembangunan belia dan pengukuhan institusi komuniti di daerah ini.
Taufiq Johari
Mordi Bimol
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
Rakan Muda