Warkah Presiden PJBM
Salam sejahtera kepada semua ahli Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia . Terlebih dahulu, saya selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia ingin memohon maaf kepada semua ahli PJBM ini kerana Persatuan kita tidak aktif selama 7 bulan pada permulaan tahun 2015 semenjak Exco baru dilantik. Ini disebabkan daripada keengganan pihak urusan PJBM yang lama bekerjasama
dengan pengurusan PJBM baru. Tiada sebarang dokumen dan informasi di berikan untuk menjalankan persatuan ini. Apa yang lebih mendukacitakan adalah pejabat PJBM di tingkat 1, Wisma FAM yang ditinggalkan oleh pengurusan PJBM lama hanya pejabat yang kosong. Dengan kerjasama ahli Exco PJBM baru ini dan sokongan daripada Setiausaha Agung FAM ,Dato’Hj Hamidin b.Hj Mohd Amin , kita berjaya melangkah ke depan bersama untuk membangunkan PJBM dan bergerak aktif. Walaupun saya sudah lama dalam bidang bolasepak tetapi saya masih baru lagi memegang jawatan sebagai Presiden di PJBM , dengan ini saya meminta kerjasama dan input daripada rakan-rakan PJBM bagi merealisasikan Visi dan Misi yang jelas dan tepat untuk PJBM. Pada penghujung tahun 2015, PJBM mempunyai lebih ramai ahli-ahli yang berdaftar berbanding dengan tahun sebelumnya. Saya berasa gembira kerana dapat memperkenalkan/menerapkan peraturan baru di bahagian pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia iaitu semua pegawai teknikal yang terlibat dalam Liga Malaysia perlu berdaftar menjadi ahli PJBM. Manakala Jurulatih asing perlu berdaftar menjadi ahli bersekutu. PJBM merancang untuk mengadakan Kursus ‘refresher’ di peringkat negeri bagi para jurulatih. Dengan mengadakan kursus sebegini , kita dapat menarik ramai lagi ahli berdaftar di bawah naungan PJBM. Untuk pengetahuan semua, PJBM berjaya mengadakan Kursus ‘refresher’ pertama di Tanjung Karang , Selangor pada 27hb – 28hb Februari 2016. Pelbagai program diaturkan oleh ahli Exco PJBM dalam kursus ini demi meningkatkan mutu kejurulatihan Negara dengan memberi perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada komuniti jurulatih disekitar negeri. PJBM juga bakal bekerjasama dengan Jabatan Teknikal FAM bagi mengendalikan Kursus Lesen C untuk jurulatih jurulatih awalan yang akan menjadi ahli kepada persatuan kita. Saya selaku Presiden PJBM berhasrat untuk melihat para jurulatih tempatan kita buat yang terbaik dalam profesion mereka dan impian saya juga untuk melihat jurulatih-jurulatih di Malaysia ini berjaya di peringkat antarabangsa. Saya percaya bahawa jurulatih bukan dilahirkan malah dibentukkan melalui sistem peningkatan. Kita disini tidak memiliki kemewahan seperti di Eropah, Japan, Amerika Selatan, Korea Selatan dan Negara Arab yang terdedah kepada perlawanan berkualiti tinggi. Walau bagaimanapun, alasan tersebut tidak sepatutnya dijadikan punca kemunduran sistem kejurulatihan di Malaysia bila kita di dunia siber ini yang mempunyai rangkaian atau saluran internet yang boleh ekses pada teknik latihan bolasepak moden dan juga dapat melihat bagaimana jurulatih-jurulatih terkenal luar Negara menjalankan latihan bersama pemain mereka. PJBM kini berusaha meningkatkan taraf laman web rasmi supaya para jurulatih boleh mendapat sumber maklumat latihan terkini dimana jurulatih-jurulatih juga dapat berkongsi pengalaman dan pendapat tentang latihan mereka tersendiri. PJBM bakal menganjurkan Anugerah Jurulatih Terbaik setiap bulan supaya jurulatih tempatan kita diberi penghargaan sewajarnya dan ia juga merupakan mekanisme motivasi kepada mereka. PJBM juga dalam perancangan untuk mengadakan Simposium Kejurulatihan Antarabangsa 2016 di Kuala Lumpur dari 10hb Jun hingga 12hb June 2016. Simposium ini julung kali diadakan di Malaysia untuk para jurulatih dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia dan juga Dato’Windsor Paul dari Asian Football Confederation yang sanggup membantu menjayakan program ini. Akhir kata , saya selaku Presiden PJBM ingin meminta kerjasama dari semua ahli PJBM untuk membawa persatuan ini ke taraf yang lebih tinggi lagi digeruni . Saya juga yakin dengan adanya persatuan ini, para jurulatih tempatan kita akan maju dalam kerjaya mereka dan tidak juga ketinggalan bahawa persatuan ini melindungi hak asasi seorang jurulatih . Sekian Terima kasih
“Majulah Bolasepak Negara”