23/08/2026
KUCHING, 21 Ogos 2026 – Perguruan Silat Hailam Boyan menyerlahkan keunikan warisan seni bela diri Melayu Sarawak menerusi persembahan silat dalam program Jelajah Ilmu & Khidmat Komuniti Serumpun Antarabangsa (ILMXCHANGE) yang berlangsung pada 20 hingga 21 Ogos 2026 di Kampung Boyan, Kuching.
Program yang melibatkan warga Kampung Boyan, UNIMAS serta tiga institusi pengajian tinggi dari Indonesia iaitu Universitas Muhammadiyah Pontianak, Universitas Nasional dan Universitas Islam Negeri Raden Mas Said Surakarta menjadi platform pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman antara Malaysia dan Indonesia.
Persembahan turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan Malaysia dan Indonesia yang dipersembahkan oleh penduduk Kampung Boyan serta pihak universiti. Kepelbagaian persembahan tersebut mewujudkan suasana pertukaran budaya yang meriah, selain memperlihatkan persamaan dan keunikan warisan masyarakat serumpun.
Lebih istimewa, persembahan turut menampilkan anak-anak penduduk Kampung Boyan yang baru mempelajari seni silat warisan turun-temurun nenek moyang mereka. Penglibatan generasi muda ini menjadi simbol kesinambungan warisan dan usaha memastikan seni silat Hailam Boyan terus hidup serta diwarisi generasi seterusnya.
Secara keseluruhannya, penglibatan dalam program seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan bagi memastikan warisan budaya terus hidup, dihargai dan dikenali di peringkat antarabangsa.