29/04/2026
"Kalau kita tidak bersilat takut nanti silat akan hapus..."
Begitulah antara ungkapan Allahyarham Tuan Imam Haji Zainudin bin Haji Adenan, Guru Utama Perguruan Seni Silat Betawi Sarawak ketika beliau ditemuramah majalah Pendekar (Bil:72 / September 1994).
Tuan Imam Haji Zainudin yang turut dikenali dengan panggilan Pak Jambak dilahirkan pada 25 Disember 1930 di Kampung Masjid, Kuching Sarawak. Ayah beliau, Haji Adenan bin Abok merupakan seorang guru sekolah dan juga guru agama di sekolah Madrasah, Jalan Jawa (sekarang Jalan P.Ramlee). Ibu beliau bernama Hajah Rokayah binti Sabuk.
Anak kedua dari tujuh orang adik-beradik ini mula bersekolah di Sambir (1935) sebelum mengikuti bapanya berpindah ke Saratok (1936). Sejarah persilatan beliau bermula ketika beliau berumur 13 tahun di mana beliau telah mempelajari silat Betawi dari seorang guru yang bernama En. Mahli. Di samping itu, beliau sempat mempelajari beberapa jenis bunga dan permainan Helang Menyambar.
Aktiviti persekolahan dan persilatan beliau terhenti seketika semasa kedatangan tentera Jepun. Situasi tersebut berlarutan sehinggalah British berkuasa semula pada tahun 1945, namun aktiviti persilatan bergerak secara terhad. Pada tahun yang sama, beliau bersama keluarganya kembali berpindah ke Kuching.
Sejarah persilatan Tuan Imam Haji Zainudin berkembang semula pada tahun 1960an ketika keluarga beliau berserta 70 keluarga yang lain berpindah ke Kampung Siol Kandis. Sebelum berpindah, beliau sempat menuntut ilmu silat Hailam Betawi dengan seorang guru yang bernama Munir bin Abu @ Abok, adik kepada bapa beliau sendiri.
Selain itu, beliau turut belajar permainan Cekak Betawi dari seorang guru silat berbangsa Melanau (Islam) yang bernama Mohd. Noor bin Totok. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar ketika beliau berusia lingkungan 30an dan rata-rata anak murid beliau berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun.
Selain guru silat, Tuan Imam Haji Zainudin turut mengajar agama dan merupakan bekas Imam 1, Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya dari tahun 1990 sehingga Mac 2002. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden 1, Rumpun Silat Sarawak, merangkap Pengerusi Jemaah Pendekar & Guru-guru Tua Peringkat Negeri Sarawak. Di antara pingat-pingat kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada beliau ialah:
1. Darjah Kebesaran Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.) : 13 September 1997
2. Darjah Kebesaran Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.) : 9 September 2000
Legasi Perguruan Seni Silat Betawi Sarawak kini diteruskan anak-anak beliau, Tuan Haji Mohamed Alli bin Haji Zainudin selaku guru utama (pewaris) dan En. Abu Bakar bin Haji Zainudin selaku guru muda.
Perguruan Seni Silat Betawi merupakan satu pertubuhan yang berdaftar di bawah Rumpun Silat Sarawak (RSS) dan merupakan salah satu daripada 13 perguruan yang menubuhkan Pertubuhan Seni Silat Bumiputera Sarawak (PSSBS) pada tahun 1976.
Tuan Imam Haji Zainudin telah kembali ke rahmatullah pada 15 Mei 2013. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat beliau.