27/06/2025
◼️◽️Pengumuman Rasmi Pembubaran Pasukan Wanita Small United FC⬛️⬜️
Dengan penuh rasa hormat dan penghargaan, pihak pengurusan Small United FC ingin memaklumkan bahawa pasukan wanita Small United FC secara rasmi dibubarkan selepas setahun bertahan sebagai sebahagian daripada keluarga besar kelab ini.
Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sepanjang tempoh ini, pihak kelab telah berusaha sedaya mungkin, termasuk menanggung kos yang besar demi kelangsungan pasukan wanita. Namun, atas faktor kewangan dan keutamaan tertentu, kelab terpaksa mengambil langkah ini demi kestabilan keseluruhan operasi.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemain, jurulatih dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Segala pengorbanan, semangat juang dan dedikasi anda semua sangat kami hargai dan tidak akan dilupakan.
Kami mendoakan kejayaan buat semua pemain dalam apa jua langkah dan haluan selepas ini. Semoga pengalaman bersama Small United FC menjadi kenangan manis dan batu loncatan untuk masa depan yang lebih gemilang.
Terima kasih, dan semoga terus maju di mana jua kalian berada.