Latar belakang Hutan Rekreasi Gua Batu Maloi, Johol Kuala Pilah ;
Hutan Lipur Batu Maloi terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kg. Tangai bersempadan dengan Hutan Simpan Gunung Tampin, dalam daerah Tampin dan Hutan Simpan Rembau, dalam daerah Rembau. Keluasan ketiga-tiga hutan simpan ini dianggarkan lebih kurang 15,000 hektar yang terdiri jenis Hutan Dipterokarp Pamah yang kaya dengan pelbagai j
enis flora dan fauna. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Pekan Tampin. Jarak lebih kurang 8 km dari Pekan Johol (melalui Jalanraya Tampin ke Kuala Pilah), 25km dari Pekan Tampin dan 68 km dari Bandar Seremban. Keunikan tempat ini adalah bentuk mukabuminya yang berbukit serta berbatu-batan yang terbentuk hasil daripada lipatan gunung kerana terletak di bahagian penghujung Banjaran Titiwangsa. Timbunan bongkahan-bongkahan batuan yang membentuk celahan batu ini dipanggil sebagai gua atau lebih tepat lagi disebut ngarai. Gua yang terbentuk di bawah bongkahan-bongkahan batu-batan yang besar sepanjang 500 meter dan diberi nama Gua Batu Maloi. Terdapat sebatang sungai yang mengalir di celahan Gua Batu Maloi yang dikenali sebagai Sungai Johol (juga merupakan salah satu anak Sungai Muar). Beberapa kemudahan turut tersedia seperti pondok rehat dan tapak perkhemahan. Gabungan ekosistem sungai dan gua ini menjadi tarikan kepada pelancong yang gemarkan aktiviti lasak dan penerokaan gua. Pengunjung dijanjikan pengalaman yang agak mencabar dengan meneroka Gua Batu Maloi. Walaupun hanya sepanjang 500 meter, namun pengunjung terpaksa meluangkan sehingga lebih dua jam bagi menamatkan cabaran Gua Batu Maloi di checkpoint 12 (bergantung kepada stamina dan bilangan peserta). Bagi anda yang gemar kepada aktiviti lasak, batu-batan yang membentuk tebing tinggi dan curam serta lorong yang gelap dan berliku-liku serta mengelirukan bersedia menanti cabaran anda. Sebagai langkah keselamatan, kepada pengemar aktiviti penerokaan gua, anda dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan jurupandu gua yang berpengalaman terlebih dahulu dengan bayaran yang berpatutan sebelum menjalani aktiviti penerokaan Gua Batu Maloi. Google Maps : http://maps.google.com.my/maps/ms?hl=en&gl=my&ie=UTF8&oe=UTF8&msa=0&msid=215655229017052643316.0004b02ac336440bc9b23.