15/05/2026
JELAJAH RIMBA BUKIT AHNING PUPUK SEMANGAT KERJASAMA BERPASUKAN DAN KEBERSAMAAN ANTARA AGENSI
KUALA NERANG, 14 Mei — Program Jelajah Rimba Bukit Ahning dan Jalinan Mesra ICQS Kota Putra berjaya menghimpunkan seramai 70 pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi dalam suasana penuh harmoni, semangat setiakawan dan gaya hidup sihat.
Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Imigresen Negeri Kedah bersama ICQS Kota Putra itu berlangsung di Bukit Ahning, Kuala Nerang dan disertai oleh pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta beberapa agensi sahabat lain.
Seawal jam 7.15 pagi, peserta mula berkumpul di kaki Bukit Ahning bagi sesi pendaftaran sebelum program diteruskan dengan taklimat keselamatan dan sesi pemanasan badan.
Aktiviti pendakian kemudiannya dimulakan sekitar jam 8 pagi menerusi sesi flag off dengan para peserta mengambil masa sekitar satu hingga satu setengah jam untuk tiba di puncak Bukit Ahning.
Sepanjang pendakian, suasana penuh semangat dan kerjasama jelas dapat dilihat apabila peserta saling membantu antara satu sama lain terutama ketika melalui laluan berbukit, curam dan licin.
Program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi, malah menjadi platform terbaik dalam membina hubungan lebih erat antara agensi di Kompleks ICQS Kota Putra.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program ini turut memberi banyak pengajaran kepada peserta berkaitan disiplin, komunikasi dan semangat kerjasama berpasukan.
Peserta dilihat bergerak secara berkumpulan, saling memberi sokongan kepada rakan yang keletihan dan memastikan semua peserta dapat tiba di puncak dengan selamat.
Semangat kerjasama berpasukan yang ditunjukkan sepanjang pendakian membuktikan bahawa kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada individu yang paling kuat atau paling pantas, tetapi bagaimana setiap ahli saling membantu dan bergerak bersama menuju satu matlamat.
Di samping itu, program seperti ini turut membantu memperkukuhkan hubungan profesional antara agensi dalam suasana lebih santai dan mesra, sekali gus meningkatkan kerjasama ketika melaksanakan tugasan rasmi di lapangan.
Setibanya di puncak Bukit Ahning, peserta berpeluang menikmati panorama alam semula jadi yang indah selain mengadakan sesi bergambar dan menikmati jamuan bersama-sama.
Peserta turut menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dengan menjaga kebersihan kawasan pendakian serta memastikan semua sampah dibawa turun semula demi memelihara kelestarian alam sekitar.
Program berakhir sekitar jam 1 tengah hari dan rata-rata peserta berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai medium mengeratkan hubungan antara agensi serta membentuk warga kerja yang lebih sihat, berdisiplin dan memiliki semangat kebersamaan yang tinggi.
Kredit untuk:- JIM Kota Putra...
Tahniah team JIM Kota Putra atas penganjuran yg sgt mantap💪..🌟🌟🌟