30/08/2026
Selepas melalui minggu yang mengecewakan dalam saingan liga, dua kelab dari Kelantan, Kelantan Red Warrior FC dan Kelantan City Football Club bakal menjadi tuan rumah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi aksi pusingan 16 Piala FA 2026/27.
Ini merupakan penyertaan pertama kedua-dua kelab dalam saingan Piala FA selepas tidak layak beraksi pada musim lalu. Bagaimanapun, baik Red Warrior mahupun The Fighters, kedua-duanya bakal berdepan cabaran getir selepas menerima undian sukar menentang Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC.
Terutamanya buat Kelantan Red Warrior FC. Dengan pelbagai masalah yang melanda pasukan seperti isu sekatan, kekurangan pemain, jadual padat dan kini masalah kecederaan, situasi tersebut sememangnya menguji kesabaran serta mental pengurusan dan barisan kejurulatihan kelab.
Irfan Bakti sendiri tampak pasrah apabila ditanya mengenai peluang anak buahnya untuk bangkit selepas berdepan tiga kekalahan besar di pentas Liga Super. Menurutnya, apa yang mampu beliau dan pasukan lakukan jika mereka hanya mempunyai 13 hingga 14 pemain untuk menghadapi pasukan yang sedang dipersiapkan bagi menyertai kejohanan di pentas Asia.
Menyedari hakikat itu, beliau tetap akan mempersiapkan Kelantan Red Warrior sebaik mungkin walaupun sedar cabaran yang bakal dihadapi amat sukar.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan City FC, Alfredo Gonzalez uang menyaksikan pasukannya diikat Malaysian University Football Team - UiTM pada aksi pembukaan Liga A1 Semi-Pro 2026/27, mengambil pendekatan yang lebih positif.
Beliau mahu para pemain terus bekerja keras untuk menjadi lebih baik sekali gus mengambil pengajaran daripada perlawanan tersebut kerana saingan baru sahaja bermula dan perjalanan musim ini masih panjang. Pemain juga diingatkan supaya segera memberikan sepenuh fokus bagi menghadapi perlawanan pertama Piala FA di laman sendiri.
Mengulas pertemuan dengan Negeri Sembilan FC, Alfredo sebelum ini berkata kepada media bahawa setiap perlawanan adalah soal 11 lawan 11. Jika mereka beranggapan lawan mereka adalah sebuah pasukan yang terlalu kuat, lebih baik tidak bermain dan duduk sahaja di rumah.
Justeru, beliau akan memberi penekanan terhadap aspek mentaliti barisan pemain kerana anak buahnya bakal berdepan pasukan Liga Super yang jauh lebih berpengalaman.
Terdahulu, aksi pertama pusingan 16 Piala FA 2026/27, Kelantan Red Warrior FC akan menjadi tuan rumah kepada Kuching City FC pada 1 September manakala Kelantan City FC p**a akan beraksi di venue sama sehari selepas itu menentang Negeri Sembilan FC.
Aksi timbal balik p**a dijadualkan berlangsung pada pertengahan minggu hadapan iaitu pada 8 dan 9 September 2026 di Stadium Taha Arifin, Kuching serta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Berita Kelantan United Football Club
Foto Kelantan Red Warrior & Kelantan City