28/05/2026
Alhamdulillah, Klas Renang Warga Emas Wanita anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelab Renang Kel Kelantan telah berakhir dengan jayanya.
Seramai 30 orang warga emas wanita telah terpilih untuk menyertai Program Klas Renang Warga Emas Wanita Fasa 1/2026 kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terpilih.
Permohonan untuk kelas kali ini sangat menggalakkan dan di luar jangkaan kami. Menariknya, penyertaan warga emas wanita berbangsa Cina melebihi peserta wanita berbangsa Melayu. Ini menunjukkan bahawa minat terhadap kemahiran renang dalam kalangan warga emas semakin mendapat sambutan tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Namun begitu, terdapat banyak lagi permohonan yang terpaksa ditolak kerana kuota peserta telah melebihi jumlah yang ditetapkan. Kepada yang tidak terpilih, jangan berkecil hati. Rebutlah peluang kedua pada Fasa 2 nanti, insya-Allah.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan atas penganjuran program yang sangat bermanfaat ini. Terima kasih juga kepada PBSD Daerah Kota Bharu yang bertungkus-lumus menjayakan Program Klas Renang Warga Emas Wanita ini bersama Kelab Renang Kel.
Penghargaan turut diberikan kepada En. Hazri Nizam B. Zakaria kerana sudi hadir bersama-sama kami dan menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta yang terlibat.
Apa yang paling membanggakan, warga emas kita kali ini menunjukkan kebolehan yang luar biasa. Walaupun berada pada usia emas, mereka masih kuat, bersemangat dan berani mencuba untuk belajar berenang.
Syukur alhamdulillah, ramai dalam kalangan peserta telah berjaya berenang sejauh 50 meter dengan baik. Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas usaha, keberanian dan semangat yang sangat hebat.
Jangan berhenti di sini. Teruskan hadir latihan untuk memantapkan lagi kemahiran renang. Warga emas aktif, warga emas sihat dan ceria.
Tahniah sekali lagi kepada semua peserta Klas Renang Warga Emas Wanita Fasa 1/2026.
Taufiq Johari
Mordi Bimol
KBSMalaysia
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
Hazri Nizam Zakaria
Siti Norina Muhamad
Malaysia Aquatics
Majlis Sukan Negara Malaysia
Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Kota Bharu