17/11/2018
SEJARAH CHE SITI WAN KEMBANG, KELANTAN
Saya berbangga dengan sejarah Negeri Kelantan.......
Apabila Sultan Mansur Shah (Kelantan) mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat pada 1548M, maka cucunda baginda Sultan Mansur yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1548M. Dengan gelaran Sultan Ahmad Shah ibni Al-Marhum Raja Muda Mansur Shah III. Ini kerana Raja Gombak tidak mempunyai anak.[1] Lalu baginda Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.[2] === Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1561M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Menurut buku Detik-detik Sejarah Kelantan karangan Sa'ad Shukri Haji Muda, apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610M (1018H), maka Cik Siti Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan pada tahun yang sama. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.
Sultan Kelantan (bagi wilayah Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan)
Dalam jawatan
1610 Masihi – Tidak diketahui
Didahului oleh
Sultan Ahmad Shah ibni Al-Marhum Raja Muda Mansur Shah III
Digantikan oleh
Puteri Saadong
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam.[3]
Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan p**a sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.
Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka disebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Taman Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.[4]
DUNIA MEMANG ANEH
Wednesday, 13 December 2017
SEJARAH CIK SITI WAN KEMBANG
*Nama asal Cik Wan Kembang
*Kematian ayah sejak usia empat tahun
*Raja Kelantan ke enam dari keturunan Sultan Iskandar Shah
*Menjadi raja dalam usia 30 tahun pada 1610
*Pusat pemerintahan, Gunung Chinta Wangsa dan Kota Tegayong
*Tidak berkahwin dan menjadikan Puteri Saadong sebagai anak angkatnya
*Binatang kesayangan adalah kijang dan menjadikan binatang itu sebagai lambang negeri
*Memerintah Kelantan selama 67 tahun
Wanita pertama perintah sebuah negeri selama 67 tahun bermula 1610 tidak pernah berkahwin RAMAI pasti terpinga-pinga atau menggelengkan kepala jika ditanya siapakah Cik Wan Kembang. Namun bila disebut Cik Siti Wan Kembang, orang pasti mengaitkan nama wanita itu dengan Kelantan hingga menjadi antara nama timangan negeri berkenaan yang turut bergelar Serambi Makkah.
Berdasarkan catatan sejarah, nama sebenar raja keenam memerintah Kelantan dari keturunan Iskandar Shah itu ialah Cik Wan Kembang, yang diberikan ayahandanya, Sultan Ahmad.
Berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan, karangan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja, gelaran "Siti" diberikan seorang pedagang Arab yang membahasakan Cik Wan Kembang dengan "Siti".
Ketika mengadap dan berbual dengan Cik Wan Kembang, orang Arab itu membahasakan beliau dengan "Siti" dan panggilan "Siti" itu didengar beberapa orang yang berada di balai mengadap.
Lalu seorang daripada kump**an itu bertanya apakah erti "Siti" sebelum dijawab pedagang Arab, yang Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai.
Terdapat juga sumber sejarah menyatakan beliau turut digelar panggilan Paduka Cik Siti.
Buku sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid, terbitan Pustaka Al-Ahliah (1962), Siti bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri.
Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang ayah yang mangkat menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan diambil alih Raja Husin.
Sejarah Pemerintahan
Sejarah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Kelantan bermula pada 1610. Berdasarkan sumber sejarah tempatan, dalam usia 30 tahun, beliau dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin.
Beliau bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chintawangsa, terletak kira-kira 40 kilometer di tenggara Kuala Krai. Nama gunung itu kekal hingga kini.
Sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar terutama Arab dan China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang terkenal.
Walaupun seorang wanita, sebagai pemerintah, Cik Siti Wan Kembang bijak mengatur langkah memastikan negeri di bawah penguasaannya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Kerana bimbangkan pemerintahan di Gunung Chintawangsa akan diserang, beliau merancang pembinaan sebuah kota pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat pemerintahan saja.
Beliau membuat keputusan meninggalkan Gunung Chintawangsa. Dalam pencarian kawasan baru itu, beliau sampai ke hutan yang dipenuhi pokok tegayong. Di situ, beliau membuka Kota Tegayong.
Di kota pentadbiran baru itu, beliau membina sebuah taman bunga sebagai tempat bermain dan bersuka ria yang dinamakan dengan Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong, yang kini terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh.
Apabila nama Cik Siti Wan Kembang mula terkenal, rakyatnya yang mendiami Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri, kini Hulu Kelantan), membawa pelbagai persembahan untuk beliau.
Antara persembahan itu ialah seekor anak kijang cantik yang amat dikasihinya. Kerana terlalu sayangkan kijang itu, Cik Siti Wan Kembang menerapkan lambang kijang pada wang emas negeri selain diabadikan pada sebahagian lambang kebesaran Kelantan yang kekal hingga kini.
Kecantikan & Keperawanan
Di sebalik kecantikannya, Cik Siti Wan Kembang tidak bersuami walaupun ramai raja dan anak raja datang meminangnya. Ramai ditolak Cik Siti Wan Kembang dengan alasan tidak terlintas dihatinya untuk bersuami.
Lama kelamaan, keadaan itu membuatkan Cik Siti Wan Kembang berasa kesunyian hidup sendirian. Apabila melihat Puteri Saadong, (Puteri Raja Loyor) ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, timbul hasrat mengambil puteri itu sebagai anak angkatnya.
Rundingan di antara Raja Loyor dan permaisurinya berakhir dengan kerelaan mereka menyerahkan Puteri Saadong untuk dijaga Cik Siti Wan Kembang.
Puteri Saadong adalah seorang gadis ayu serta cantik dan digelar penduduk Gunung Chintawangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu sampai kepada pengetahuan maharaja Siam yang menghantar utusan meminangnya tetapi ditolak Cik Siti Wan Kembang.
Menyedari Raja Siam akan menimbulkan masalah berikutan penolakan lamaran itu, Cik Siti Wan Kembang mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah (sepupunya) dari Jembal sebelum dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudian berpindah ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Sejarah Cik Siti Wan Kembang berakhir apabila beliau melantik Raja Abdullah dan Puteri Saadong sebagai pemerintah Kelantan.
Selepas pelantikan itu, Cik Siti Wan Kembang kembali semula ke Gunong Chintawangsa, kota pemerintahan awalnya dan selepas itu kisahnya tidak diketahui lagi.
Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan selama 67 tahun, antara 1610 dan 1677 dengan dua pusat pemerintahan iaitu Kota Tegayong dan Gunung Chintawangsa
Cik Siti Wan Kembang – Lambang Ketamadunan Melayu Kelantan
Kalau orang Kedah akan berbangga dengan tokoh seperti Merong Mahawangsa ataupun Sultan Muhammad Jiwa II, kalau Johor akan berbangga dengan tokoh seperti Laksamana Tun Abdul Jamil dan juga Hang Nadim, kalau Acheh boleh berbangga dengan tokoh seperti Sultan Iskandar Muda, maka kata saya rakyat Kelantan juga bertuah kerana sepanjang orang Melayu Kelantan membina sebuah ketamadunan, mereka dikurniakan dengan seorang ratu perempuan yang bernama Cik Siti Wan Kembang, yang sesungguhnya sehingga hari ini, sinonimnya Kelantan dengan gelaran negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tapi seberapa banyak anak Melayu di sini mengenali dengan mendalam riwayat hidup empunya nama Cik Siti Wan Kembang ini. Tiada siapa p**a yang tahu apa jasanya sehingga diangkat sedemikian rupa. Maka, kami pejuang anak bangsa ini akan sekali membuka pena, mencoret kisah-kisah agung tentang tokoh bangsa yang semakin dilupakan. Sejarah ditulis oleh orang Menang, maka dengan jiwa yang penuh rasa kemenangan, kami hamparkan kepada kalian, salah satu tokoh dalam sejarah Melayu yang harus kita kenang bersama.
Baginda lahir pada tahun 1570, dari perkahwinan antara Sultan Ahmad dan juga Permaisuri Che Banun. Siapa tahu, bahawa dari pasangan pemerintah Kerajaan Serendah Sekebun Bunga di Kelantan ini, maka lahirnya seorang pemimpin agung yang sehingga hari ini masih lagi dikenang oleh seluruh rakyat Kelantan.
Tidak hairanlah bagaimana Cik Siti Wan Kembang membesar menjadi tokoh yang hebat kalau peribadi ayahnya juga hebat. Siapa yang tidak kenal pada pemerintahan Sultan Ahmad ketika itu. Negeri Serendah Sekebun Bunga begitu makmur di bawah pemerintahan ayahnya yang mengamalkan ciri-ciri pemerintahan Islam. Bahkan dicatatkan bahawa begitu makmurnya Kerajaan Negeri Serendah Sekebun Bunga sehinggalah ada pedagang yang sanggup memusnahkan kapal dagang mereka kerana mahu terus bermaustatatin di negeri ini. Para ulamak juga datang dari keseluruhan Kep**auan Melayu ke kerajaan ini menyebarkan Islam dan berdakwah membentuk masyarakat yang hebat di kerajaan ini.
Dan dari kebanjiran ulamak ini juga, Sultan Ahmad mengamanahkan proses pendidikan Cik Siti Wan Kembang kepada beberapa orang ulamak terkemuka pada zaman itu. Maka membesarlah Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja sebagai puteri raja yang jelitawan dan rupawan, bahkan mempunyai peribadi yang indah. Bahkan dari proses pembelajarannya dengan ulamak-ulamak ini, dapat dilihat betapa berminat dan sayangnya Cik Siti Wan Kembang pada ilmu tassawuf yang seperti mana kita tahu nanti akan mempengaruhi pada saat usia baginda.
Cik Siti Wan Kembang mewarisi takhta daripada Raja Hussien yang diamanahkan oleh ayahnya Sultan Ahmad ketika usia Cik Siti Wan Kembang masih lagi kecil agar menjaga takhta itu untuk anak perempuannya. Ketika baginda menaiki takhta, maka pemerintahan yang hebat seperti mana yang dibawakan oleh ayahandanya diteruskan p**a oleh Cik Siti Wan Kembang.
Maka pada tahun 1610 Masihi adalah pertabalan Cik Siti Wan Kembang sebagai pemerintah ke-6 kerajaan Serendah Sekebun Bunga. Mendengarkan khabar raja pertama dari kalangan wanita itu, bahkan dengan khabar angin kejelitaannya yang tiada tandingan, maka seluruh raja-raja Melayu di seluruh Nusantara pun berpakat menghantarkan rombongan peminangan ke atas Cik Siti Wan Kembang. Namun semuanya ditolak dengan sopan oleh Cik Siti Wan kembang dengana alasan sekiranya dia menerima salah satu daripada peminangan raja-raja tersebut, maka pastinya raja lain akan terasa dan ianya akan mencetuskan pada peperangan.
Baginda ialah seorang pemerintah yang bijaksana. Dia mendapati bahawa kerana kemasyuran namanya sebagai pemerintah wanita pertama, dan baginda takutkan kalau nanti konflik perang akan terjadi, maka baginda memindahkan pusat pemerintahan baginda dari Gunung Cinta Wangsa ke Cerang Tegayung. Maka di Cerang Tegayung, baginda bersama para hulubalang dan rakyat baginda pun mendirikan istana di Cerang Tegayung.
Dan dari kedudukan di Cerang Tegayung yang sangat strategik itu, maka pelabuhan yang ditubuhkan pun menjadi pesat, lalu menarik perhatian para pedagang dari seluruh dunia untuk menjejakkan kaki ke Cerang Tegayung. Ada yang datang daripada Jepun, China, Eropah, India, Indo-China dan Arab. Pedagang Arab yang datang berniaga di Serendah Sekebun Bungalah yang memberikan gelaran “paduka cik siti” kepada Wan Kembang yang kononnya mengikut catatan sejarah bermaksud Perempuan Mulia.
Dan secara jujur bagi saya, sangatlah cocok dengan Cik Siti Wan Kembang kerana betapa kerajaan yang diperintahnya ketika itu sangatlah makmur dari segi ekonomi, pendidikan sehinggalah ke sahsiah rakyatnya. Dicatatkan bahawa Cik Siti Wan Kembang bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan kepada kaum lelaki, bahkan kaum perempuan turut mendapat hak yang sama rata.
Ketika kaum perempuan di eropah masih menjadi mangsa penindasan kuasa kaum lelaki, tetapi tidak di Tamadun dan Peradaban Melayu di mana kaum lelaki dan perempuan mendapat pendidikan yang setimpal. Bahkan Cik Siti Wan Kembang dicatatkan membawa masuk para ulamak dari seluruh dunia semata-mata demi memastikan bahawa rakyatnya mendapat pendidikan agama yang terbaik. Ini menyebabkan kadar jenayah ketika itu sangatlah rendah dan amatlah jarang ditemui sebarang perilaku yang melanggar undang-undang negara.
Dan tentu ramai tertanya-tanya entah bagaimanalah Kelantan sinonim dengan lambang seekor Kijang? Ini tak lain tak bukan adalah kerana sebuah peristiwa yang mempamerkan sisi indah pemerintah hebat ini.
Kononnya dicatatkan bahawa terdapat hadiah daripada pembesar di dalam negerinya yang mempersembahkan seekor anak kijang yang sangat jinak dan comel kepadanya. Cik Siti Wan Kembang sangatlah sayang akan anak kijang kerana mengisi kesunyian dalam hidupnya sehinggakan mata wang Kelantan diletakkan cop kijang sebagai lambang negeri.
Baginda dikatakan memerintah selama 67 tahun, menandakan bahawa baginda antara raja paling lama memerintah di Alam Melayu. Maka tanggungjawab memerintah negerinya diserahkan pada Puteri Saadong yang merupakan anak angkatnya yang dijaga dari kecil. Maka ketika itulah, dicatatkan bahawa Cik Siti Wan Kembang membawa diri ke Gunung Ayam dan menjadi ahli sufi serta menghabiskan sisa hayatnya beribadah dan mengabadikan diri kepada ALLAH. Tiada siapa yang tahu tarikh sebenar pemergian pemerintah agung ini.