18/04/2026
SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
SILAT LIAN PADUKAN GELANGGANG KEDIDI
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Silat Lian Padukan Gelanggang Kedidi telah berjaya dilaksanakan dengan penuh kemeriahan, keharmonian dan semangat kekeluargaan yang cukup erat. Majlis yang berlangsung ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah turut menjadi medan mengeratkan lagi silaturahim antara warga perguruan silat, ahli-ahli serta komuniti setempat.
Majlis ini bertambah seri dengan kehadiran jemputan istimewa daripada Gelanggang Induk Johor Jaya,Gelanggang Dahlia Pasir Gudang serta Gelanggang Melana Skudai.Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah melambangkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh dalam keluarga besar Silat Lian Padukan. Pertemuan ini jelas memperlihatkan bahawa hubungan antara gelanggang bukan sekadar dalam latihan, tetapi turut terjalin erat sebagai satu keluarga besar yang saling menyokong antara satu sama lain.
Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Ketua Komuniti Merak serta barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Komuniti Merak yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini. Kehadiran pihak komuniti amat bermakna dan menjadi simbol sokongan padu terhadap aktiviti sihat serta pembangunan sahsiah anak-anak melalui seni mempertahankan diri.
Sambutan kali ini menyaksikan kehadiran hampir 100 orang yang terdiri daripada ahli-ahli gelanggang serta para cikgu. Kehadiran yang begitu memberangsangkan ini telah mewujudkan suasana yang cukup meriah, penuh dengan gelak tawa, kemesraan dan semangat kekeluargaan. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah setiap yang hadir, lebih-lebih lagi apabila dapat berkumpul dalam suasana santai di luar sesi latihan.
Dari segi juadah, pelbagai hidangan istimewa Hari Raya telah disediakan untuk dinikmati bersama. Antara menu yang menjadi tumpuan termasuk nasi beriani, ayam masak merah, satay,sandwish,roti jala, speggeti cabonara serta pelbagai jenis kuih-muih tradisional dan kek. Turut disediakan minuman air balang pelbagai perisa yang menambahkan lagi keceriaan suasana jamuan.
Pihak Gelanggang Kedidi telah menyediakan hidangan utama bagi memastikan kelancaran majlis, di samping sokongan padu daripada ibu bapa yang turut sama menyumbang juadah secara potluck. Sumbangan ini amat dihargai kerana bukan sahaja membantu memeriahkan lagi hidangan, malah mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap aktiviti gelanggang.
Secara keseluruhannya, majlis Sambutan Hari Raya ini telah mencapai matlamatnya dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim, menyemai nilai hormat-menghormati serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan semua yang terlibat. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai satu tradisi yang menyatukan seluruh warga Silat Lian Padukan.
Akhir kata, pihak penganjur ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat keberkatan dan ganjaran yang baik.
Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
Ikhlas daripada:
Lian Padukan Gelanggang Kedidi