16/08/2026
INSIDEN SELEPAS PERLAWANAN MASAI UNITED FC vs PTP FC
Dimaklumkan oleh pegawai perlawanan Liga JBFA bahawa selepas tamat perlawanan antara Masai United FC dan PTP FC petang semalam, telah berlaku satu insiden yang melibatkan pegawai perlawanan dan beberapa individu yang berada di venue.
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, seorang pemain PTP FC juga didakwa telah melakukan kekasaran terhadap pembantu pengadil serta mengeluarkan kata-kata berunsur ancaman terhadap beliau. Perkara ini akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Perkara ini amat dikesali dan dipandang serius oleh pihak JBFA. Pada masa yang sama, JBFA mengingatkan semua kelab yang bertanding agar sentiasa memastikan pemain, pegawai serta penyokong masing-masing menjaga disiplin dan tingkah laku, khususnya ketika dan selepas perlawanan.
Dalam apa jua keadaan, keselamatan, maruah dan integriti pegawai perlawanan hendaklah sentiasa dihormati.
JBFA juga ingin menegaskan bahawa sebarang insiden yang berlaku di venue pertandingan bukan sahaja boleh menjejaskan kelancaran perlawanan, malah berpotensi memberi kesan kepada hubungan baik dengan pihak pengurusan venue yang digunakan serta reputasi pihak-pihak yang terlibat.
JBFA akan mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan berdasarkan maklumat serta hasil siasatan yang dijalankan.
Seterusnya JBFA akan segera membawa kes ini ke Lembaga Tatatertib Liga JBFA untuk siasatan dan tindakan lanjut, selaras dengan peraturan pertandingan.
JBFA menghormati segala proses dan tindakan pihak berkuasa berkaitan perkara ini serta berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan baik dan diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.
— Jawatankuasa Liga JBFA 2026