12/07/2023
Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bersama Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT FC) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor menerusi Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) bekerjasama dalam usaha mencari & menilai bakat-bakat pemain bola sepak di seluruh daerah negeri Johor. Setelah selesai di 2 daerah yang pertama iaitu Pontian & Batu Pahat, kali ini destinasi teralih p**a kepada daerah berikutnya iaitu Tangkak sebelum berehat dan memberi laluan kepada semua program Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) hingga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Kerjasama ini terjalin dengan objektif yang sama iaitu berusaha mencari lebih ramai data pemain bola sepak di seluruh daerah dalam negeri ini untuk direkodkan sekaligus diketengahkan bakatnya sekiranya melepasi spesifikasi yang ditetapkan. Dengan objektif program agar lebih 500 orang pemain hadir dalam sesuatu sesi pemilihan, panel-panel pemilih yang datangnya dari JDT FC percaya ada bakat yang belum pernah dilihat dan masih tersorok di seluruh pelusuk daerah-daerah ini. Justeru, semua pihak termasuklah ibu bapa, penjaga & guru-guru sekolah perlulah saling bekerjasama dalam menyokong dan menyumbang kepada keberkesanan program ini.
PBNJ sentiasa menyokong program pembangunan bola sepak yang menjurus kepada kemenjadianpemain-pemain di negeri ini. Sama-samalah kita bekerjasama dalam mencari "Next Fazly Mazlan" di Tangkak nanti.