16/12/2022
DUNIA
Tanah runtuh Genting Highland:
Angka kematian meningkat kepada 16, 17 hilang
Tanah runtuh Genting Highland: Angka kematian meningkat kepada 16, 17 hilang
Anggaran Waktu Membaca: 2 min
Tanah runtuh Genting Highland: Angka kematian meningkat kepada 16, 17 hilang
(Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia/Twitter)
Diterbitkan : 16 Dec 2022 09:34AM
Dikemas Kini : 16 Dec 2022 02:28PM
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 16 orang disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Gohtong Jaya, Genting Highland, awal pagi Jumaat (16 Dis).
7 masih hilang setakat 1 tengah hari, manakala 61 lagi ditemui selamat, menurut polis.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata fokus utama pasukan penyelamat adalah mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih tertimbus.
Beliau berkata demikian semasa melawat mangsa yang cedera di Hospital Selayang di Selangor.
Polis menyatakan antara mereka yang disahkan meninggal dunia termasuk dua budak lelaki, seorang budak perempuan, lapan wanita dan dua lelaki.
Ketua Polis daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata secara keseluruhan sekitar 94 mangsa terjejas, dengan kesemuanya penduduk tempatan termasuk pekerja di tapak perkhemahan tersebut.
Menurut BH Online, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong, memaklumkan bahawa lebih 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan ahli keluarga mereka antara mangsa tanah runtuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata pegawai bomba mula tiba di tapak kejadian sekitar pukul 3.00 pagi selepas menerima panggilan meminta bantuan pada 2.24 pagi.
Menurutnya kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm dan menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan jalan berkenaan.
Ketinggian runtuhan dianggarkan 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar 3 ekar.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata kegagalan kaki cerun dipercayai punca kejadian runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan awal pagi tadi.
Siasatan awal mendapati tiada tanda awal runtuhan dikenal pasti, selain memaklumkan keadaan cerun adalah landai dan memenuhi kriteria cerun selamat.
Sehubungan itu, katanya, semua lokasi aktiviti riadah sekitar Batang Kali akan ditutup kepada umum sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali, berkata kepada Bernama TV, pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Hulu Selangor turut bersama membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan menyebut akan meninjau kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, malam ini.
Beliau mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri lain juga turut melawat lokasi kejadian termasuk Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak/ Tugas-tugas Khas), Mohd Ali.