23/03/2021
Seramnya! Kenapa tiba-tiba Skim Pampasan muncul? Saya dengar terus takut nak daftar vaksin.
Kami faham kerisauan anda. Lebih-lebih lagi selepas kecoh berita kematian front liner yang disalaherti berpunca daripada vaksin. Berita tersebut telah menyebabkan kerisauan yang mendalam dan masih ramai tidak mengetahui atau belum masih boleh menerima sebab kematian (bukan disebabkan vaksin) yang diisytiharkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri terlibat. Tidak apa. Take your time ☺️.
Namun, Skim Pampasan Kecederaan Vaksin atau nama sebenarnya Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudharat Vaksin ini sebenarnya telah mula dicadangkan pada permulaan proses vaksin c19 ingin dibawa masuk oleh kerajaan. Dan pada waktu itu, secara dasarnya ianya telah dipersetujui oleh kabinet. Cuma ianya baru dilancarkan hari ini kerana ianya memerlukan masa untuk menyediakan dan meluluskannya.
Simple sahaja sebabnya. Bukan sebab apa-apa episod terbaharu.
Betapa percayanya Kerajaan kepada badan Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara, KKM, di dalam membuat keputusan meluluskan vaksin C19 yang dikatakan SELAMAT & BERKESAN.
Bukan sahaja diberikan percuma kepada semua rakyat Malaysia, malah dibela dan disokong dengan diberikan pampasan jika berlaku kecederaan* teruk atau kematian akibat vaksin (walaupun kerajaan yakin ianya tetap selamat).
Itulah kesungguhan kerajaan yang inginkan kita semua mendaftar untuk mendapatkan vaksin C19 ini.
Kami menyokong tindakan kerajaan memperkenalkan pampasan kecederaan vaksin ini. Kerana ianya menyediakan satu kaedah atau jalan, jika anda terkena kemudharatan vaksin pada tahap yang dinyatakan (walaupun ianya sukar berlaku kepada anda), anda dan keluarga boleh menuntut pampasan daripada pihak kerajaan.
Terdapat tiga Penilai dan pemantau kesan kemudharatan vaksin ini.
1) Jawatankuasa Farmakovigilans Khas - yang memantau kes-kes yang dilaporkan dan isu keselamatan vaksin
2) Jawatankuasa Teknikal Perubatan - yang akan menilai adakah kesan sampingan tersebut benar-benar daripada vaksin
3) Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin C19 - Untuk memberikan kelulusan daripada penilaian kedua-dua jawatankuasa sebelum itu.
Pihak NADMA dipertanggungjawabkan membayar pampasan tersebut seperti yang diluluskan melalui dana RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.
Nah, begitulah.
Usah ragu-ragu lagi. Pada yang dah mendaftar teruskan menunggu. InsyaAllah minggu depan ada pengumumannya. Pada yang belum mendaftar, dan masih ingin menunggu dan lihat, tidak apa. Ambil masa anda secukupnya. Moga masa akan menunjukkan kebenarannya.