16/05/2026
AMPANG JAYA BADMINTON CLUB TERIMA KUNJUNGAN PRESIDEN BAM BAGI MENYOKONG PEMBANGUNAN BADMINTON AKAR UMBI
Ampang Jaya, Selangor – Ampang Jaya Badminton Club (AJBC) berbesar hati menerima kunjungan Presiden Badminton Association of Malaysia (BAM), Yang Mulia Tengku Dato Seri Utama Zafrul Aziz ke gelanggang latihan AJBC hari ini dalam satu program pembangunan badminton akar umbi bersama pemain-pemain junior dan senior kelab.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Mohd Taupik Haji Hussain selaku Assistant Secretary General BAM, Encik Ifwat Hamiruddin selaku Ahli Majlis MPAJ, serta Mr Julian Thean, Marketing Director Haier Electrical Appliances Sdn Bhd yang juga merupakan penaja utama AJBC.
Pengasas dan Ketua Jurulatih AJBC, Ho Khek Mong berkata kehadiran Presiden BAM ke gelanggang mereka merupakan satu penghormatan besar dan motivasi luar biasa kepada semua pemain muda yang sedang berlatih di kelab tersebut.
“Walaupun kami bukan kelab yang mempunyai dana besar atau kemudahan paling mewah, kami tetap percaya bahawa dengan disiplin, semangat dan sistem latihan yang betul, kita mampu melahirkan pemain berkualiti,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pemain-pemain AJBC berjaya mencatat kemenangan ke atas pemain dari negara kuasa badminton seperti China, Thailand dan Jepun sepanjang tahun lalu, sekaligus membuktikan bahawa pembangunan pemain di kelab tersebut berada di landasan yang tepat.
AJBC juga mengambil kesempatan untuk menghargai pemain-pemain senior yang banyak membantu meningkatkan standard latihan di kelab, antaranya Ong Xin Yee yang kini berada dalam kelompok pemain ranking dunia dan mewakili Malaysia di Uber Cup, serta Lim Ming Hong, pemain perseorangan nombor 8 Malaysia dan quarter finalist kejohanan Malaysia S100 tahun lalu.