23/02/2020
Cuma Nak Bagi Tau Sat...๐ผ๐ค๐ถ๐พ๐ฐ
KEDAH HANYA BOLEH DAPAT 500 TIKET
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan menerima salinan surat dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung permintaan tiket bagi perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan berkata surat permintaan KFA sudah diterima mengenai permintaan persatuan itu untuk mendapatkan 1,000 keping tiket yang akan dijual kepada penyokong Kedah yang mahu menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih berkenaan.
"Untuk makluman, MFL ada manual yang ditetapkan berhubung pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat. Ada tiga kategori yang ditetapkan.
Stadium yang bawah kapasiti penonton 20,000, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pasukan pelawat hanya 300 tiket sahaja. Kedua, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksima 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000, jadi KFA mungkin akan dapat 500 tiket sahaja. Atas kapasiti tempat duduk penyokong 40,000 hingga 80,000, maka tuan rumah boleh beri tiket kepada pasukan pelawat sejumlah 1,000 tiket dan jika KFA inginkan 1,000 tiket ia bergantung kepada budi bicara kelab JDT dan ketetapan manual di buat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL," katanya ketika ditemui di majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam media sosialnya baru-baru ini berkata, pihaknya dihujani pelbagai panggilan serta surat permohonan oleh penyokong Kedah bagi mendapatkan kuota tiket menyaksikan perlawanan itu.