27/08/2020
JIWA SILAT
Langkah sembah bermaksud ibu segala permainan atau ibu kaedah bagi silat. Baik zahir mahupun batin, hakikat atau makrifat.
Bukan pandai² buat atau suka² buat melainkan setiap gerakan ada makna dan rahsia tertentu.
Langkah sembah, gabungan permainan langkah, letak kekuatan badan, gerak nafas, pandangan diri zahir, serta pandangan diri batin.
Dalam gerak bunga sembah terdapat ciri-ciri asas kaedah silat iaitu seperti ‘Langkah’, ‘Kekuda’, ‘Jalan’, ‘Gerak’, ‘Garik’, ‘Sikap’, dan ‘Arah’. Tujuh ciri-ciri asas tersebut merupakan rahsia yang terkandung dalam bunga sembah.
Kita buka sikit rahsia, Jangan dibanyak sangat ... kita beri huruf "LAM ALIF", rahsia pandai pandai lah cari sendiri hehe ...
Bergerak dalam kalimah... Mudah-mudahan kita sentiasa ingat pada Dia.
"Tumpuan hati berdiri atas diri terperi ...
Gerak atas gerik ...
Rasa atas resa ...
"AGAM" ... aku gerak ALLAH menggerak"
Hebatnya orang melayu ni ... Bukan sahaja dalam ilmu perang, bahkan dalam pembuatan rumah, busana, dan macam² yang lain ... semua aplikasi Tauhid tahap tinggi.
Sungguh rugi pesilat yang hanya tahu menghafal bunga, Tetapi tidak tahu rahsia yang terkandung di dalamnya.
Bunga silat adalah tarian para Hulubalang suatu ketika dahulu. Tetapi ianya bukanlah semata-mata tarian, Setiap bunga yang dipersembahkan mengandungi rahsia yang tersembunyi.
Bangsa Melayu tinggi adabnya walaupun ketika bertarung, Adakalanya bunga dimainkan sebelum atau ketika pertarungan untuk menunjukkan pesilat menghormati pertarungan.
Bangsa Melayu menyanjung tinggi adab dan budi bahasanya. Dalam sopan orang Melayu ada kerasnya. Seperti bunga silat, indah lembut berseni geraknya tersimpan gerakan rahsia yang membunuh.
"Gerak silat asalnya Ilham, Lalu disimpan di dalam Bunga, Dari bunga terbitnya Buah"
Manusia diberikan naluri untuk mempertahankan diri dan menyelamatkan diri dari bahaya, Kita ini adalah sebaik-baik ciptaan-NYA. Setiap gerakan berdasarkan naluri yang sukar dijelaskan dan bukannya gerakan sembarangan.
Ilham ini datang dalam pelbagai cara seperti mimpi, sumber dari pertapaan dan pemerhatian terhadap gerak binatang. Sumber ilham hakikatnya ini datang dari Pemberi Ilham (Rujuk Sifat 20). Ianya dizahirkan dengan pergerakan seni yang dinamakan Bunga.
Setiap Gerakan memiliki pelbagai maksud tersirat dan dari asas gerak ini munculnya gerakan menepis, gerakan tapak, tumbukan, mengunci, menjatuhkan lawan, melangkah dan sebagainya. Gerak abstrak ini dipercayai menyimpan pelbagai gerak rahsia dan beribu buah.
"Setiap gerak ada seni, Setiap seni ada rahasia, Setiap rahasia ada rahasia, Hanya yang bergerak dan digerak yang mengetahui erti Gerak-NYA"
Kredit: TengkuDaengMawelle