04/06/2026
Satu pendedahan yang cukup 'membuka mata' seluruh peminat bola sepak tempatan.
Malaysia kini menjadi antara negara yang paling unik atau mungkin boleh dikatakan agak terkebelakang dalam rantau Asia Tenggara (ASEAN) dari segi struktur tadbir urus bola sepak.
Menerusi pembentangan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany di Kongres Luar Biasa FAM hari ini, rupa-rupanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) langsung tidak mempunyai walau satu pun wakil kelab bola sepak sebagai ahli gabungan mereka.
Ini bermakna, kelab-kelab profesional yang berbelanja berjuta-juta ringgit setiap musim langsung tiada suara atau hak dalam proses membuat keputusan badan induk tersebut.
Sistem bola sepak di negara jiran nampaknya jauh lebih moden dengan mengintegrasikan kelab profesional ke dalam sistem tadbir urus mereka:
🇹🇭 Thailand – 69 Kelab
🇮🇩 Indonesia – 43 Kelab
🇻🇳 Vietnam – 39 Kelab
🇸🇬 Singapura – 31 Kelab
🇲🇲 Myanmar – 31 Kelab
🇵🇭 Filipina – 12 Kelab
🇲🇾 MALAYSIA – 0 KELAB (SIFAR!)
FAM dilaporkan hanya mempunyai 14 ahli gabungan yang terdiri daripada persatuan bola sepak negeri.
Ini menjadikan Malaysia antara segelintir persatuan yang masih 'terperangkap' dalam acuan lama dan bergantung sepenuhnya kepada persatuan negeri sebagai komponen utama.
Lebih mengejutkan, selain Malaysia, satu-satunya negara lain yang mempunyai rekod sifar wakil kelab seperti ini adalah Persatuan Bolasepak Sri Lanka.
Disebabkan tiada penyertaan kelab, jumlah keseluruhan ahli gabungan FAM (kuasa mengundi/membuat keputusan) hanyalah 20 badan sahaja. Jumlah ini amat kerdil jika dibandingkan dengan:
🇮🇩 Indonesia: 82 ahli gabungan
🇹🇭 Thailand: 70 ahli gabungan
🇻🇳 Vietnam: 61 ahli gabungan
Pembentangan daripada AFC ini memberi gambaran yang sangat jelas kenapa struktur pentadbiran bola sepak kita sukar untuk berubah.
Di saat negara jiran rancak memberikan ruang kepada kelab-kelab profesional untuk mencorakkan masa depan bola sepak mereka, kita masih mengekalkan kuasa di tangan persatuan negeri.