18/10/2024
KENYATAAN MEDIA
PERMOHANAN MAAF SECARA TERBUKA KEPADA PIHAK GOTMAD PENGANJUR YB3B CHALLENGE
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Dengan rasa rendah hati, kami pihak Persatuan Malim Gunung Cameron Highlands (PMGCH) memohon maaf di atas kekhilafan telah mengeluarkan kenyataan dan memorandum tentang bantahan terhadap penggunaan laluan larian dari Gunung 6040 ke Gunung Siku Untuk makluman, terdapat isu kesalahfahaman dan kesahihan maklumat dari pihak persatuan sendiri tentang penggunaan laluan yang akan digunakan dan dilalui oleh para peserta dalam acara YB3B Challenge yang akan berlangsung pada 19 Oktober – 20 Oktober 2024.
Sehubungan itu, pihak Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands yang dihadiri sendiri oleh Pegawai Hutan Daerah, Yang Bahagia Tuan Arifhadi Bin Johari Affandi, wakil Persatuan Malim Gunung Cameron Highlands yang dihadiri oleh Pengerusi serta Setiausaha dan pihak penganjur YB3B Challenge telah mengadakan satu perjumpaan bagi menjernihkan keadaan dan pihak kami telah diterangkan dengan sangat jelas oleh Pegawai Hutan Daerah dan pihak penganjur tentang laluan acara yang akan digunakan nanti.
Kami mengambil maklum akan keresahan dan kegusaran pelbagai pihak khususnya pihak malim gunung tempatan yang gusar tentang penggunaan laluan digunakan serta dan juga pihak penganjur dimana acara ini akan berlangsung dalam tempoh sangat dekat. Justeru, kami telah mengambil tindakan untuk mengeluarkan kenyataan ini untuk menjernihkan situasi dan pertanyaan yang bermain di minda tentang acara ini.
Dengan itu, kami dari pihak persatuan juga ingin menyatakan sokongan dan memberi dukungan penuh terhadap acara YB3B Challenge yang akan dijalankan dan berharap pihak penganjur dapat memastikan tahap keselamatan peserta berada dalam keadaan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dan kami juga sangat bergantung harap agar kawasan pendakian gunung yang digunakan dalam acara ini dalam tahap terbaik seperti sebelumnya dan terpelihara terutama dari segi kebersihan kawasan denai pendakian.
Oleh itu, kami dari pihak persatuan sekali ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands dan juga pihak GOTMAD selaku penganjur YB3B Challenge atas pertemuan bagi mendapatkan titik persefahaman yang utuh serta kami mendoakan agar acara ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T serta berjalan dengan lancar hendakNya Akhir sekali, kami dari pihak persatuan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas insiden salah faham yang telah berlaku.
Sekian,Terima kasih.
Yang benar,
HAZRIL IZZANIE BIN ABD HAMID
PENGERUSI
PERSATUAN MALIM GUNUNG CAMERON HIGHLANDS (PMGCH)