05/02/2014
AKHBAR / NEWSPAPER : UTUSAN MALAYSIA
SEKSYEN / SECTION : BERITA UMUM/LAIN-LAIN
TARIKH / DATE : 09-Jan-2006
HARI / DAY : ISNIN (MON)
ISU / ISSUE : KERAJAAN TEMPATAN MUKA SURAT /
PAGE : 14
TAJUK / TITLE : Kelantan benarkan semula snuker
Kelantan benarkan semula snuker...
Oleh HERMAN HAMID
KOTA BHARU 8 Jan. - Kerajaan negeri akan mengeluarkan satu garis panduan bagi membolehkan pusat-pusat permainan snuker dan billiard yang selama ini dikaitkan dengan kegiatan tidak sihat beroperasi semula di Kelantan selepas lebih 15 tahun Pas memerintah.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengumumkan pendirian rasmi kerajaan negeri yang membenarkan ia beroperasi menegaskan dua syarat utama diberi penekanan iaitu ia mestilah bebas daripada sebarang unsur perjudian dan tempoh masa operasi yang sesuai.
Katanya, jika ini dapat dipatuhi maka kerajaan negeri tidak ada masalah untuk membenarkannya kerana snuker itu sendiri adalah sejenis sukan yang baik untuk dijadikan sebagai satu riadah.
``Selebihnya mengenai garis panduan yang berkaitan, saya serahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan (Abdul Fatah Mahmood) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan (Takiyuddin Hassan) untuk menetapkannya.
``Yang penting, ia hendaklah dimainkan dalam keadaan bersih. Saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh buat kerana di China, snuker dimainkan secara terbuka di tepi-tepi jalan sahaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Jawatankuasa Persatuan Snuker dan Billiard Kelantan yang diketuai oleh Setiausahanya, Hu Pang Chaw di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir ialah Abdul Fatah dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Snuker dan Billiard Malaysia, Patrick Poh.
Pada Julai lalu Takiyuddin telah mengumumkan untuk membenarkan semula operasi snuker di negeri ini tetapi sehingga kini belum ada hitam putih mengenainya.
Namun selepas pengumuman itu, timbul pelbagai kontroversi apabila Majlis Perbandaran Kota Bharu _ Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah beberapa kali menyita sebuah pusat snuker di sebuah kompleks membeli-belah sehingga menyebabkan kes itu diheret ke mahkamah oleh setelah pengusaha berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.
Difahamkan setiap kali operasi dibuat, pihak pengusaha menanggung kerugian melebihi RM100,000 kerana segala peralatan berkaitan termasuk meja snuker turut dirampas.
Nik Abdul Aziz yang ditanya mengenai kontroversi tersebut bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.
``Itu masalah mereka dengan MPKB, saya tak tahu itu. Cuma saya sendiri memang telah lama menunggu mana-mana pihak yang berminat hendak membuka pusat snuker seperti yang kita syaratkan datang berjumpa dengan saya.
``Akhirnya hari ini ada dan kita tidak ada masalah dengannya,'' jelasnya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Pang Chaw berkata, pusat snuker yang akan dibuka kelak akan berbentuk pusat latihan yang dikendalikan sepenuhnya di bawah persatuan.
``Itu adalah syarat utama yang diletakkan di bawah Akta Sukan 1997. Ia bukan lagi di bawah premis hiburan yang memerlukan kita meminta kebenaran dari pihak berkuasa tempatan (PBT).
``Oleh itu mana-mana pihak yang hendak datang bermain perlu menjadi ahli dahulu. Prosedur dan peraturan lain kita akan bincang dengan Abdul Fatah serta Takiyuddin dalam masa terdekat ini,'' katanya.
Pang Chew berkata, persatuan itu telah pun menyiapkan kertas cadangan mengenai bentuk operasi pusat latihan tersebut.
``Apa pun yang penting hari ini selepas beberapa kali tergendala, Menteri Besar telah memberikan lampu hijau dan dengan peluang ini maka snuker negeri Kelantan akan dapat dimajukan,'' katanya.