05/06/2025
Daripada Encik Mohd Irham Bin Mohd Ihsan selaku Pengarah Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 (KMTK2025)
"Bersama Sunnah, Menuju Redha Allah"
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang istiqamah dalam menegakkan agama Allah.
Dengan rasa penuh syukur dan rendah hati, saya selaku Pengarah Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 (KMTK2025) ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan kejohanan ini dari awal perancangan hingga ke detik selesainya kejohanan ini.
Kepada Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM), pihak kami amat menghargai kepercaayan yang diberikan kepada PASUKAN LAKSANA(TEAM) Persatuan Memanah Tradisional Melaka (MELTRA) dalam melaksanakan kejohanan ini dan bantuan dan nasihat yang diberikan.
Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) terutama Pusat Sukan UTEM kerana memberikan kebenaran dalam pengunaan tempat sebagai venue kejohanan. Juga kepada Kerajaan Negeri Melaka, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia , Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Melaka dan Jabatan Pendidikan Melaka atas sokongan yang diberikan.
Bagi semua ketua kontigen, pengurus,para ibubapa dan pemanah saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas komitmen, kepatuhan dan kerjasama semasa kejohanan ini berjalan. Walaupun ada yang kurang selesa dengan dengan kaedah perlaksanaan kejohanan kali ni tapi ia perlu dilakukan untuk memastikan ia berjalan dengan lancar. Alhamdulilah pada KMTK kali ini dengan izin Allah SWT kita berjaya menyelesaikan semua urusan sebelum Azan Maghrib Berkumandang.
Sukan memanah adalah sukan sunnah Rasulullah SAW, sunnah bila diamalkan ia akan membawa kebaikan kepada pengamal dan orang di sekelilingnya. Untuk mencapai matlamat itu ia memerlukan penambaikan dan usaha yang terancang, untuk memastikan sunnah memanah dapat dilaksanakan sengan selamat, bersistem, memberikan imej yang positif kepada pengamalnya dan menjadikan pemanah ini sebagai insan yang hebat dari segi panahannya, adab dan juga amal ibadatnya.
Saidina Ali RA berkata kebaikan itu akan mudah dikalahkan oleh kebatilan yang terancang.
Oleh itu insyallah kita berusaha untuk memastikan agar kejohanan memanah tradisional lebih teratur, sistematik dan kemas selepas ni kalau tidak dapat dilaksanakan diseluruh Malaysia pun, kami di Melaka akan terus menguna pakai sistem ini dalam kejohanan memanah tradisional besar yang dijalankan di sini.
Buat seluruh AJK Induk dan AJK Pelaksana yang dikasihi. Anda adalah barisan pejuang di belakang tabir. Tanpa kepenatan anda, tanpa pengorbanan masa, tenaga dan jiwa anda, kejohanan ini tidak akan menjadi kenyataan.
Moga setiap titik peluh dan kerja buat anda semuamenjadi saham akhirat dan amal jariah yang berkekalan. Kita bukan sekadar menganjur, kita telah membangun sebuah platform dakwah dan penyatuan ummah.
🎯 Setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang budiman. Dengan penuh rasa hormat dan terima kasih, kami menzahirkan penghargaan kepada penaja rasmi yang telah bermurah hati dan berkongsi rezeki demi kejayaan KMTK2025:
-Suli Archery
-Ibnu Amir
-Ansal Archery
-Mahabbah Archery
-3 Brothers Archery
-FJ Leather Craft
-Ustaz Lah
-Excella
-Supra X
-Arrouha Archery
-Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka
-Kopi Makrifat
-Dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang sudi menaja dan menyokong kejohanan ini dengan penuh keprihatinan dan harapan terhadap pembangunan panahan tradisional ini.
Sumbangan tuan dan puan bukan hanya pada bentuk material, tetapi juga telah menyumbang kepada penghidupan sunnah, penyatuan umat dan pengembangan sukan warisan Islam.
Dengan penuh rendah diri, saya mewakili seluruh jawatankuasa pelaksana ingin memohon maaf atas sebarang kekurangan, kelemahan atau kesilapan sepanjang penganjuran kejohanan ini sama ada dari segi layanan, teknikal atau pengurusan. Pihak kami telah berusaha semampunya dengan pelbagai kekangan samada dari segi kewangan, perubahan tempat pada saat akhir akibat bencana alam dan banyak lagi.
Sesungguhnya segala yang baik itu dari Allah, dan segala kekurangan adalah dari kelemahan kami sendiri. Insyallah dalam kejohanan pada masa akan datang pihak kami akan berusaha memperbaiki segala kekurangan yang telah ditimbulkan oleh semua pihak. Terima kasih atas maklim balas yang diberikan.
KMTK2025 bukan sekadar kejohanan. Ia adalah gelombang kesedaran, medan tarbiyah, dan platform ukhuwwah. Kita telah menyaksikan bagaimana sunnah mengikat hati, bagaimana sukan membina jiwa, dan bagaimana warisan menyatukan ummah.
Teruskan memanah, teruskan menyatukan hati, dan teruskan menjadi generasi yang membumikan sunnah dalam kehidupan.
Jumpa lagi di medan memanah akan datang dengan semangat sunnah yang lebih segar, dan ukhuwwah yang lebih erat.
Allahu Akbar! Hidupkan sunnah, bersatu dalam iman, menuju kejayaan!
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Mohd Irham Bin Mohd Ihsan
Pengarah Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan 2025 (KMTK2025) 🏹