25/08/2026
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد
Ikhwan yang dimuliakan Allah SWT,
Sempena bulan Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita bersama-sama memperbaharui azam untuk meningkatkan keimanan kepada Allah SWT serta menyuburkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW.
Semoga kita tergolong dalam kalangan umat yang dicintai dan mendapat syafaat Baginda Rasulullah SAW.
Daripada Abu Wa’il, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya.”
(Riwayat al-Bukhari, No. 5702 – Hadis Sahih)
Pengajaran Hadis
1. Cinta membawa kepada kebersamaan.
Orang yang benar-benar mencintai seseorang akan sentiasa ingin bersama dengan orang yang dicintainya. Begitu juga kecintaan kepada Rasulullah SAW, ia bukan sekadar pada ucapan, tetapi diterjemahkan melalui kehidupan kita.
2. Kita akan bersama dengan orang yang kita cintai.
Para ulama menjelaskan bahawa seseorang akan dihimpunkan bersama dengan orang yang dicintainya. Maka, cintailah Rasulullah SAW dan orang-orang soleh agar kita berharap untuk dikumpulkan bersama mereka di akhirat kelak.
3. Cinta kepada orang soleh perlu disertai dengan teladan.
Cintailah orang-orang soleh dengan mencontohi akhlak, perjuangan, ibadah dan cara hidup mereka. Jangan sekadar mengagumi, tetapi berusahalah mengikuti jalan kebaikan yang mereka tunjukkan.
4. Cinta yang ikhlas mempunyai nilai di sisi Allah.
Ibnu Battal menjelaskan bahawa apabila seseorang mencintai orang soleh kerana ketaatan mereka kepada Allah SWT, maka kecintaan tersebut mempunyai nilai dan ganjaran di sisi Allah. Ini kerana niat yang baik menjadi asas kepada sesuatu amalan.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.”
(Riwayat Muslim, No. 2640 Hadis Sahih)
5. Cinta kepada Rasulullah SAW adalah jalan menuju kebersamaan dengan Baginda di Syurga.
Walaupun seseorang tidak pernah bertemu Rasulullah SAW di dunia, kecintaan yang benar kepada Baginda menjadi sebab seseorang berharap untuk bersama Baginda di akhirat, walaupun berbeza kedudukan dan tingkatan di dalam Syurga.
6. Cinta yang sebenar akan melahirkan ketaatan.
Cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut nama Baginda, memperbanyakkan selawat atau mengingati kelahiran Baginda. Cinta yang sebenar akan mendorong kita untuk mengikuti sunnah, mencontohi akhlak, mentaati perintah, meninggalkan larangan serta mempertahankan ajaran yang dibawa oleh Baginda.
Cinta Yang Perlu Dibuktikan
Rabiul Awal bukan sekadar bulan untuk kita memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi menjadi kesempatan untuk kita menilai kembali sejauh mana cinta kita kepada Baginda.
Jika benar kita mencintai Rasulullah SAW, maka marilah kita hidupkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Perbanyakkan selawat.
Pelajari sirah Baginda.
Contohi akhlaknya.
Ikuti sunnahnya.
Didik keluarga dengan ajaran Baginda.
Dalam kita membina kehidupan bersama keluarga tercinta, marilah kita menjadikan Rasulullah SAW dan orang-orang soleh sebagai qudwah dan teladan, agar kehidupan kita bukan sahaja memperoleh kebahagiaan di dunia, tetapi juga dikurniakan kebersamaan dengan mereka di akhirat nanti.
Semoga Allah SWT menyuburkan cinta kita kepada Rasulullah SAW, menghidupkan sunnah Baginda dalam kehidupan kita dan menghimpunkan kita bersama Baginda di dalam Syurga-Nya.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448H.
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.