22/07/2023
ISITIADAT PERLIMAU SENI & TAPAK
IMDAD SILAT SENI GAYONG
11 Mac 2023
…..
Buat pertama kalinya seramai 17 orang murid batch pertama IMDAD terlibat dalam istiadat ini.
Majlis disempurnakan oleh Gurulatih Kumbang Hitam TC. Alhamdulillah..segala pertanyaan daripada waris dapat dijawab ketika sesi ini dilakukan. Insyallah istiadat kita di imdad ini adalah patuh syariah.
Ok. Mari sy terangkan kenapa perlunya istiadat ini???
………
Seseorang yang hendak mempelajari ilmu Silat Seni Gayong perlu diterima sebagai seorang Murid Gayong dahulu dengan menjalani upacara Majlis Perlimau Tapak. Setelah menjalani upacara tersebut, barulah orang itu dengan rasminya menjadi seorang Murid Gayong. Dari situ, Murid Gayong tersebut akan mula mempelajari ilmu Silat Seni Gayong peringkat tangan kosong yang dikenali dengan ‘TAPAK’.
Apabila tamat mempelajari ‘TAPAK’, peringkat ilmu Silat Seni Gayong seterusnya adalah pelajaran senjata tradisional Melayu yang dikenali dengan ‘SENI GAYONG’. Sebelum itu, ada satu upacara yang perlu dilalui oleh Murid Gayong untuk mempelajari ilmu peringkat ini iaitu upacara Majlis Perlimau Seni. Selesai sahaja, Murid Gayong boleh bermula mempelajari pelajaran senjata.
Terdapat 3 perkara yang perlu diambil perhatian pada kedua-dua upacara tersebut :
1. Murid lelaki mesti melalui kedua-dua upacara tersebut tetapi murid wanita hanya perlu melalui upacara Majlis Perlimau Tapak Seni sahaja.
2. Wang sumbangan guru pada Majlis Perlimau Seni bagi wanita adalah sama dengan lelaki pada Majis Perlimau Tapak iaitu sebanyak yang telah ditentukan.
3. Murid lelaki boleh menjalani Majlis Perlimau Seni sebelum tamat pembelajaran ‘TAPAK’ dengan syarat mendapat keizinan guru. Lazimnya ini berlaku di peringkat antara bengkung Pelangi Hijau dan Pelangi Merah Cula 3.
Kelengkapan majlis hendaklah diuruskan sendiri oleh pihak gurulatih atau gelanggang. Berikut adalah bahan-bahan yang perlu disediakan untuk keperluan majlis :
BAHAN PERLIMAU TAPAK & PERLIMAU SENI
Limau Nipis , Akar Sintuk, Asam Jawa, Garam Halus, Kemenyan, Pisang Emas, Beras Kunyit,
Beras Putih, Biji Bertih, Bunga wangi berlainan jenis, 7 kuntum seorang, Lilin putih, Sirih dan ramuannya, Sekapur, Jarum jahitan, Sumbangan Guru
Beberapa bahan lain seperti Air Gayong, keris dan lain-lain akan dibawa dan disediakan sendiri oleh Wakil Perlimau.
Bagi melicinkan perjalanan majlis, dicadangkan beberapa kelengkapan tambahan untuk kegunaan majlis seperti baldi, kotak atau pinggan polisterin, botol air kosong, beg plastik untuk bekalan air dan sebagainya. Namun ianya bergantung kepada gurulatih dan pihak gelanggang yang mengelolakan majlis mengikut kaedah masing-masing.
Untuk melengkapkan upacara Majlis Perlimau Tapak atau Majlis Perlimau Seni, Setiap orang yang melalui majlis tersebut hendak menyelesaikan pada hari tersebut diikuti doa ketika mandi, Air yang Ditawarkan oleh Wakil Perlimau dan diakhiri Ikrar Murid Gayong.