26/07/2026
Trip Muka Biru…
Trip mencandat Mersing kali ini adalah trip yang sangat mencabar sepanjang hidup aku memancing. Keluar sahaja dari muara Sungai Mersing kami disambut dengan angin ‘kipas no5’. Kebiasaannya bila angin kuat, alun di laut juga akan tinggi.
Angin tenggara menyambut kedatangan kami kali ini. Sepanjang perjalanan ke spot mencandat, rasanya lebih 10 kali kami bertemu dengan alun 3 beradik dengan ketinggian sekitar 2-3 meter. Setiap kali itu juga bot yang kami naiki menceduk air laut. Dan hasilnya air paras pertengahan atas buku lali (bawah sedikit dari paras lutut) berada di dalam bot.
Bot 300hp twin yang kebiasaannya berkelajuan 45kt hanya mampu digerakkan sekitar 10kt sahaja kerana keadaan alun yang tinggi dan angin yang kuat.
Sesampai di spot aku seperti biasa menghuni kepala bot, tapi kali ini aku tidak langsung mampu berdiri. Lambungan kali ini sungguh luar biasa.
Walau apapun keadaan perjuangan mesti diteruskan. Namun, aku hanya mampu bertahan sehingga jam 11.30 malam sahaja. Kepalaku terasa berpusing seperti gasing menyebabkan aku masuk ke kabin untuk berbaring.
Kusangkakan angin tenggara akan mereda menjelang tengah malam mereset. Rupanya angin tenggara ini bertahan sehingga trip ini selesai.
Dalam trip ini hanya 4 orang mampu bertahan, manakala 7 orang lagi tewas. Player ada 8 orang sahaja? Jangan ditanya siapa lagi 2 yang dimaksudkan 🤭🤭🤭. Trip ni menjadikan aku dan Icuk bertambah akrab. Aku baring berjemaah dengan icuk tapi tak tau lah sapa yang teman sapa 😜😜.
Alhamdulillah kami selamat pergi dan balik. Alhamdulillah juga ada manis-manis yang dibawa p**ang. Hasil kami sedikit kurang kali ini, tapi kami kaya pengalaman. Hasil kami bahagi sama rata. Dapatlah bawak balik seorang 3kg sotong dan ikan pon seorang 3kg juga.
Terima kasih skipper Mohd Ridzhuan Iskandar dan awak-awak yang padu mengemudi trip ini. Hasil kami kurang bukan sebab tekong malas. Sejujurnya tekong ini sangat padu. Kalau tidak takkan lah kami setia selama 4 tahun dengan khidmat tekong ini dan pasti akan berterusan ke tahun-tahun mendatang.
Video adaaaaa… Tunggu mood nak edit sampai je 😁😁