09/03/2021
FAM teliti laporan insiden babit pengadil, pemain
Oleh Zulfaizan Mansor
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneliti laporan daripada penilai pengadil dan pengadil perlawanan berhubung satu insiden membabitkan pengadil serta pemain ketika aksi Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak II FC, di Kota Bahru, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Insiden pada minit ke-39 dan tular di media sosial itu menyaksikan pengadil perlawanan, Amirul Aizat Mohd Lodin menghadang pemain Kelantan FC, Jack Hindle daripada melakukan percubaan di dalam kota penalti sebelum pemain itu bertindak menolak beliau hingga terjatuh.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya akan membuat penilaian dari dua aspek berkaitan insiden itu selepas menerima laporan daripada penilai pengadil selain meneliti rakaman video.
"Bagi aspek pertama, FAM akan meneliti persembahan dan prestasi pengadil sepanjang perlawanan itu manakala aspek kedua mengenai tindakan pemain terbabit yang menolak pengadil.
"Berdasarkan perincian laporan, ia boleh dibawa ke Jawatankuasa Pengadil dan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan selanjutnya, jika perlu. Selepas itu semua itu selesai, barulah FAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden ini," kata Stuart ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan Hindle patut dikenakan kad merah di bawah undang-undang berkelakuan ganas.
Beliau yang kini berperanan sebagai tenaga pengajar pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagaimanapun turut mengakui pengadil berkenaan berada pada posisi yang salah.
"Pengadil salah posisi, itu tak salah dari segi undang-undang. Tapi pemain, bila anda tidak dapat menahan emosi dan kelakuan, undang-undang akan ambil tindakan. Ini di bawah klausa kelakuan ganas," katanya.