09/02/2026
*9 Pemain Laker Strikers Tunjang Pasukan Kinta Utara 2026*
Kejohanan Kriket Piala Mahinder Singh – Koo Kim Kuang T10 Bawah 12 Tahun Peringkat Negeri Perak telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Februari bertempat di SMK Bercham dan SK Tasek Dermawan. Kejohanan ini menghimpunkan 11 pasukan daerah dari seluruh negeri Perak dan berjaya menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat muda kriket peringkat akar umbi.
Sepanjang kejohanan, pasukan Kinta Utara mempamerkan prestasi yang sangat dominan dan konsisten. Dalam perjalanan ke perlawanan akhir, Kinta Utara telah beraksi dalam empat perlawanan dengan memulakan batting terlebih dahulu, menunjukkan kekuatan barisan pemukul serta disiplin taktikal yang tinggi.
Kemuncak kejohanan menyaksikan perlawanan akhir antara Kinta Utara dan Batang Padang. Kinta Utara membuat keputusan berani dengan memilih untuk memadang terlebih dahulu, satu strategi yang terbukti tepat apabila mereka berjaya menyekat larian lawan kepada hanya 37 larian dan all out dalam 8 overs. Tekanan berterusan daripada barisan bowler dan kawalan padang yang kemas menyebabkan Batang Padang gagal membina momentum.
Ketika giliran batting, Kinta Utara tidak berdepan masalah untuk mengejar sasaran tersebut apabila berjaya melepasi skor kemenangan dalam hanya 4.1 overs, sekali gus menobatkan mereka sebagai Johan Kejohanan dengan penuh bergaya.
Dari segi anugerah individu, Muhammad Fatih Mikail muncul sebagai bintang kejohanan apabila dinobatkan sebagai Player of The Match, Best Bowler, dan juga Player of The Tournament, hasil prestasi cemerlang sepanjang kejohanan. Anugerah Best Batsman dimenangi oleh Muhammad Danish Hamzah, manakala Best Keeper menjadi milik Syyarveen dengan pungutan 6 mata.
Keputusan Akhir Kejohanan:
• 🏆 Johan: Kinta Utara
• 🥈 Naib Johan: Batang Padang
• 🥉 Ketiga: LMS
• Keempat: Hulu Perak
Secara keseluruhan, kejohanan ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pembangunan bakat muda, malah memperlihatkan masa depan kriket negeri Perak yang cerah dengan kemunculan pemain-pemain muda yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.