25/10/2021
Mereka dah lama rancang, kita sahaja yang lalai.
"Kurang Haram" Agenda Terbaharu Syarikat Tembakau
YBMK dan KKM jangan mudah terpedaya dengan taktik tembakau. Ada udang di sebalik batu. Ini cara-cara syarikat tembakau menormalisasi tembakau agar ia diterima masyarakat dan kerajaan. Polisi kesihatan seperti kawalan produk tembakau tidak sepatutnya dipengaruhi oleh syarikat tembakau.
Merujuk kepada The Global To***co Industry Interference Index (GTIII) 2020, Malaysia menduduki tangga kedua terendah di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Negara Brunei menduduki tempat pertama dalam GTIII ini. Ini menunjukkan Malaysia amat lemah di dalam mencegah aktiviti melobi dan campur tangan daripada pihak Industri Tembakau. Adakah kita ingin negara kita seperti sebuah negara Amerika Latin di mana industri dadah sedang mengawal penuh struktur pentadbiran dan polisi kerajaan?
KKM dan kerajaan seolah-olah lemah di dalam aktiviti kawalan yang mana sebenarnya kita telah tandatangani perjanjian FCTC WHO.
Di dalam laporan GTIII, indikator no 2 menunjukkan sebuah NGO yang telah disponsor oleh syarikat tembakau, telah membuat satu program "Kembali Ke Sekolah", yang telah dirasmikan oleh setiausaha politik PM ketika itu dan disokong oleh kerajaan dan Menteri Besar Kedah.
Maka tidak hairanlah jika tempoh hari, KKM melalui mantan YBMK dan Pengurusan Tertinggi KKM dilaporkan bergambar dengan Industri Tembakau dan melakukan CSR dengan yayasan ini dan dipaparkan di media sosial KKM. Selepas ianya viral, barulah posting berkenaan diturunkan daripada media sosial. Adakah pengurusan tertinggi KKM menganggap CSR sebegini tidak melanggari mana-mana undang-undang negara di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau PPKHT 2004? Penerimaan ini jelas melanggar Artikel 5.3 WHO Frame work Convention on To***co Control (FCTC) yang telah menggariskan setiap anggota parti mesti memastikan tiada campur tangan industri tembakau di dalam mana-mana pembangunan polisi kawalan tembakau.
Laporan antarabangsa ini juga menunjukkan, tiada perubahan di dalam aktiviti pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan dan KKM.
Malah tiada sebarang pelaporan rekod interaksi antara syarikat tembakau dan kerajaan seolah-olah membiarkan sahaja mereka merancang segala polisi kesihatan berkaitan tembakau tanpa mempedulikan pandangan pakar kesihatan dan NGO-NGO kesihatan.
Terkini kita disesatkan dengan agenda syarikat tembakau termasuk harm reduction (kurang haram), kemasukan rokok tidak sah akibat kawalan di bawah WHO FCTC dan yang lebih menyedihkan permohonan moratorium cukai eksais untuk syarikat ini.
Adakah kita perlu tunduk dan membiarkan syarikat tembakau ini terus mempengaruhi polisi kesihatan kita sedangkan hal ini melibatkan nyawa dan kesihatan masyarakat kita.
Mohon pihak kerajaan, KKM dan agensi kerajaan lain yang terlibat cakna dan patuh tentang apa yang telah kita tandatangani.
Adakah kita masih tidak belajar pengalaman polisi tembakau yang lama dan telah menyebabkan kematian 20,000 penduduk Malaysia setiap tahun dan kerugian 3 billion setiap tahun untuk merawat penyakit yang disebabkan rokok?
Sumber
https://exposetobacco.org/country/malaysia/